Azalina diseru dalami Islam sebenar

hbo

BANGI, 1 Ogos – “Saya menyeru Azalina supaya mendalami Islam yang sebenar,” kata Hanan binti Othman, Jawatankusa Latihan Dan Kepimpinan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

Hanan berkata demikian berikutan komen yang disuarakan oleh Dato’ Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan garis panduan penapisan filem dan drama yang dikeluarkan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Azalina telah meminta agar garis panduan tersebut dikaji semula dan membenarkan adegan-adegan berpegangan tangan dan berpelukan disiarkan dan tidak ditapis badan perfileman itu.

Justeru itu, seruan tersebut telah dibuat dan Hanan juga berharap agar segala keputusan atau komen yang dikeluarkan dibuat setelah memikirkan maruah masyarakat dan bukannya berlandaskan kepentingan nafsu.

“Sebagai seorang menteri dan lebih penting lagi, sebagai seorang penganut agama Islam, beliau harus tahu bahawa pelakon Islam yang melakonkan masih tetap manusia beragama Islam yang tertakluk pada undang-undang Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hanan turut mencadangkan agar pengarah filem menggunakan cara lain yang lebih patuh syariat untuk mengekspresikan watak suami isteri.

“Jangan berfikiran sempit dengan hanya memasukkan adegan berpegangan tangan, berpelukan, berciuman dan pelbagai lagi adegan intim, terdapat berbagai cara boleh dilakukan untuk melakonkan watak suami dan isteri, pengarah perlu lebih kreatif,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hanan turut menyanggah kenyataan menteri tersebut tentang kesan sesebuah filem yang mempunyai adegan sensual.

“Satu kenyataan yang dangkal dan cetek apabila mengatakan bahawa filem yang tidak senonoh tidak membawa kepada maksiat dalam masyarakat walhal banyak kajian telah dibentangkan mengenai kesan dan pengaruh filem terhadap kelakuan dan fikiran masyarakat,” ujarnya lagi.

“Sebagai seorang menteri, beliau seharusnya berfikir untuk membangunkan masyarakat yang punyai harga diri dan maruah dan lakonan dan filem yang ditayangkan boleh memainkan peranan ini, kalau perkara yang ditayangkan adalah sampah, maka jadi sampahlah masyarakat tersebut, tetapi jika yang ditayangkan itu adalah berlian, maka jadi berlianlah masyarakat tersebut,” ulas Hanan.

1 thought on “Azalina diseru dalami Islam sebenar”

  1. Finas Dan menterinya patut nasihat pengarah supaya lebih creative.Cerita baik dan cara pembuatAn filemnya pun up to date tak payah ada peluk dan laon2 yang haram. Filem inggeris sekarang pun tak ada peluk etc.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top