KUANTAN, 16 Feb. – “Beliawanis masa kini kurang disediakan dengan kemahiran untuk menjadi ibu kepada generasi masa hadapan,” ujar Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Pahang, Dr. Norbaiyah Bakrim.
Beliau berkata, golongan beliawanis masa kini dilihat masih kurang sedar dengan peranan masing-masing sebelum memasuki alam rumahtangga supaya tidak terlibat dengan bebanan masalah rumahtangga dan pengurusan anak-anak.
Beliau yang juga merupakan pensyarah pelatih di Fakulti Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan bahawa hiburan-hiburan dan drama yang disajikan menampakkan seolah-olah peranan beliawanis adalah mudah berbanding realiti kehidupan.
“Oleh itu, PEMBINA sebagai agensi yang terlibat dengan golongan mahasiswa berusaha untuk merawat masalah para beliawanis ini melalui program-program yang akan dijalankan.
“Program-program ini bukan hanya menjadikan mereka wanita muslimah tetapi juga bijak menguruskan rumahtangga, menangani stress dan merancang kewangan melalui program-program yang berobjektifkan kemahiran dan ilmu,” sambung beliau lagi.
Selain itu, menurut beliau, PEMBINA telah membina jaringan yang luas dalam memantapkan kemahiran beliawanis untuk berinteraksi dengan pelbagai lapisan umur melalui kerjasama dengan agensi-agensi yang lain di bawah ISMA seperti Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM),Kelab Remaja ISMA (KRIM), dan Ikatan Pengamal Perubatan Malaysia (I-MEDIK).
Beliau yang juga merupakan ibu kepada dua orang anak ini berharap agar beliawanis di luar sana lebih serius dalam mengutamakan perkara yang diperlukan oleh bakal ibu dalam mengurus sebuah rumahtangga sebagai bekalan untuk kehidupan di alam rumahtangga.
Shuhaimi Shaedon
Wartawan ISMA Kuantan