PEMBINA seru umat Islam agar berani memperjuangkan Islam

BANGI, 14 Feb – “Berbekalkan bilangan ahli yang ramai serta kualiti tarbiyah pada setiap ahli, PEMBINA sudah sampai ke satu fasa, di mana kita perlu ke hadapan dalam menjaharkan identiti kita sebagai NGO yang membawa mesej Islam yang jelas”

Demikian kenyataan Jawatankuasa Biro Tarbiyyah PEMBINA Bangi, Mohd Hanis B. Md Fozi, melalui laman media sosial baru-baru ini berikutan tindakan beberapa badan organisasi seperti COMANGO, SIS dan lain-lain yang semakin lantang mencabar dan mengancam kedaulatan Islam di Malaysia sejak akhir ini. Beliau menggesa supaya seluruh umat Islam di Malaysia sedar percaturan kelompok jahiliyah (liberal, pluralisme dan syiah) dalam mengetengahkan agenda mereka melalui penzahiran identiti individu atau badan organisasi yang disertai mereka.

“SIS sebagai contoh tanpa segan silu mempromosi identiti sekular mereka dan menonjolkan diri mereka sebagai pejuang hak sama rata. Sedarlah, bendera puak jahiliyah telah diangkat tinggi-tinggi, tujuan mereka tidak lain tidak bukan ialah untuk meruntuhkan akidah Islam yang sebenar. Umat Islam perlu kembali agresif, sudah sampai masanya giliran kita pula mengangkat bendera Islam setinggi-tingginya. Masyarakat perlu diselamatkan daripada terikut perjuangan bendera-bendera puak jahiliyah.”

hanis fozi

“Syed Qutb berkata, mereka yang melihat kezaliman di sepanjang jalan dan menemui pencerobohan di setiap tempat, tetapi tiba-tiba tangan dan lidahnya tidak bergerak padahal mereka mampu menggerakkannya, mereka itulah orang yang hatinya tidak termakmur oleh Islam. Sekiranya hati mereka termakmur dengan Islam, nescaya mereka berubah menjadi mujahidin”, ujar Mohd Hanis.

Beliau menyeru kepada ahli-ahli PEMBINA dan seluruh umat Islam yang ikhlas memperjuangkan Islam supaya jangan berasa lemah atau takut.

“Persiapkan barisan jentera kita dengan tarbiyah yang mantap, perkemaskan gerak kerja dan disiplin kita, angkatlah bendera Islam setinggi tingginya demi menyelamatkan masyarakat kita daripada dakyah kelompok jahiliyah. Kita akan membongkar segala kepincangan mereka supaya masyarakat tidak terus menerus diperdaya”, tambah beliau lagi.

Mohd Hanis  merupakan salah seorang delegasi daripada PEMBINA yang menghadiri sidang meja bulat bersama NGO-NGO Islam seperti PEMBELA, MUAFAKAT, ACCIN dan lain-lain bagi membincangkan tuntutan-tuntutan Coalition of Malaysian NGOs (COMANGO) pada 29 September 2013 yang lalu, sebelum dibentangkan di dalam  Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva.

Oleh: Wartawan Media PEMBINA Bangi
Sumber: Laman sesawang PEMBINA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top