BANGI 16 Julai – Naib Presiden 2 PEMBINA, Puan Nor Hasni Hayati dijemput oleh PEMBINA cawangan Bangi merasmikan program WARDAH ( Wanita, Ratu dan Harapan)
Program yang sarat dengan aktiviti-aktiviti feminin seperti seperti peragaan fesyen, kursus solekan, persembahan nasyid, lakonan pentomin dan sebagainya itu dibuat di dewan tertutup sesuai dengan prinsip PEMBINA untuk melengkapkan jatidiri beliawanis di atas landasan syariah.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyebut “Dunia yang sedang bergerak pantas dan bertambah maju dari segi pembangunan teknologi dan ekonomi seharusnya juga diimbangi dengan pembangunan jatidiri dan modal insan masyarakatnya.
Peranan untuk memastikan pengimbangan inilah sepatutnya dimainkan oleh golongan yang mempunyai fikrah Islami dan jatidiri yang tinggi, di samping menyumbang juga kepada pembangunan teknologi dan ekonomi dunia.
Menyedari hakikat ini, beliawanis perlu sedar bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang amat penting kepada dunia di samping perlu belajar untuk berfikir dan bertindak dengan pantas untuk menyempurnakan tugas-tugas sosial yang dirancang melalui PEMBINA.
Oleh itu, beliawanis tidak boleh lesu sebaliknya perlu bertenaga dan sentiasa dinamis kerana dunia memerlukan kita.”
Ucapan yang cukup bertenaga itu telah disampaikan kepada lebih kurang 50 orang peserta beliawanis yang juga mahasiswi dari IPT sekitar Bandar Baru Bangi yang hadir pada majlis tersebut.