Beliawanis Cergas Di KASBI Johor

20 Mac 2010- Kita Sihat, Islam Kuat. Begitulah tema yang dipilih untuk Karnival Sukan Belia Islam Nasional (KASBI) Peringkat Negeri Johor tahun 2010. Sejajar dengan sebuah pepatah Arab yang berbunyi, Akal yang sihat adalah daripada badan yang sihat, tema ini digunapakai untuk meraih perhatian umum khususnya para belia akan kepentingan mempunyai tubuh badan yang sihat bagi melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, yang juga mempunyai peranan tertentu dalam sesebuah keluarga, organisasi, masyarakat atau kepimpinan.

Kolej Datin Seri Endon, UTM Skudai telah menjadi saksi berlangsungnya acara yang julung-julung kali diadakan ini. KASBI Johor telah berjaya mengumpulkan seramai lebih kurang 50 orang beliawanis daripada Institusi Pengajian Tinggi sekitar Johor. Karnival sukan ini bertujuan melahirkan para belia Muslim yang cemerlang daripada aspek jasmani dan sosial di samping untuk membantu membentuk kefahaman, kerjasama erat dan persaudaraan kukuh berteraskan Islam di kalangan peserta.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan dalam KASBI Johor bahagian wanita. Kategori pertama adalah permainan bola jaring yang menyaksikan kumpulan yang diberi nama Kuku Besi meraih tempat pertama. Kumpulan Revogrades dan Kumpulan Sumayyah masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga manakala Kumpulan Srikandi terpaksa berpuas hati dengan berada di tempat keempat.

Bagi kategori sukan rakyat dan sukaneka, empat acara telahpun dipertandingkan. Acara bola beracun, lari skipping, lari ikat kaki dan baling bola ke arah belakang sememangnya mencabar kecekapan dan keupayaan fizikal serta semangat kerjasama setiap kumpulan. Kumpulan Kuku Besi sekali lagi mengungguli kategori ini setelah meraih mata terkumpul tertinggi menewaskan kumpulan Sumayyah di tangga kedua, Revogrades ketiga dan Srikandi keempat. Menurut salah seorang peserta daripada kumpulan Kuku Besi iaitu Saudari Norsyaida, pelajar UTM jurusan Remote Sensing, beliau berasa gembira kerana dapat menyertai KASBI Johor ini. Selain dapat menimba pengalaman baru, peluang yang diperoleh juga digunakan untuk mengenali rakan-rakan peserta yang lain. Bagi Saudari Khairiah bt Othman, ketua Kumpulan Srikandi, beliau dan ahli kumpulannya merasa sedikit terkilan kerana tidak dapat menjalankan latihan persediaan yang mencukupi sebelum berlangsungnya KASBI. Walaubagaimanapun, mereka tetap berpuas hati  kerana dapat memeriahkan KASBI Johor 2010 dan berharap ukhwah yang terjalin akan kekal dan diredhai Allah S.W.T. Saudari Khairiah juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya melaksanakan KASBI Johor dan berharap aktiviti bersukan di kalangan beliawanis akan menjadi amalan bagi melahirkan individu yang sihat tubuh badan, menepati salah satu ciri peribadi Muslim.

Semangat para peserta tidak luntur walaupun mereka bermain di dalam hujan renyai. Ini diakui oleh Saudari Norashiken bt Samsuddin, salah seorang hakim permainan yang mengatakan bahawa para peserta tetap menunjukkan komitmen yang tinggi walaupun keadaan padang agak licin disebabkan hujan. Program yang dimulakan dengan acara perasmian pembukaan di Kolej 11 UTM Skudai ini berakhir dengan acara penutup dan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Wakil PEMBINA Johor pada jam 1.00 petang di Gelanggang Kolej Datin Seri Endon. Gerai jualan makanan PEMBINA Johor yang menyediakan beberapa juadah menarik pula mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta dan penonton yang hadir.

Di kesempatan ini, warga PEMBINA Johor ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah buat para peserta yang telah menunujukkan aksi tangkas, cergas dan semangat kesukanan yang tinggi serta memberikan kerjasama yang baik kepada pihak Jawatankuasa Pengelola KASBI Johor 2010.

Semoga kesihatan tubuh badan yang dianugerahkan Allah S.W.T. dapat dipelihara dan disyukuri dengan sebaik-baiknya. Berjumpa lagi pada masa akan datang.

 

KITA SIHAT, ISLAM KUAT!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top