6 April 2010 mencatatkan peristiwa yang sungguh bermakna buat akhawat Pembina Pahang. Satu majlis perpisahan telah diadakan di Pejabat PEMBINA Pahang bagi meraikan akhawat tahun akhir yang akan menamatkan pengajian mereka pada bulan Mei ini.Seramai 14 orang akhawat tahun akhir jurusan Perubatan, Farmasi dan Bioteknologi dari UIAM Kuantan serta 3 orang akhawat dari Pusat Matrikulasi Gambang telah diraikan di dalam majlis ini.
Alhamdulillah, majlis ini telah berlangsung dengan lancar walaupun persiapan untuk
majlis ini diadakan semasa “demam peperiksaan” melanda dan kebanyakan akhawat yang diraikan sangat sibuk dengan tugasan dan praktikal. Majlis wida’ ini bermula dengan ucapan alu-aluan dari pengerusi majlis, Ukhti Zu’aini dan Ukhti Nur Jihan. Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Al-Qur’an yang diperdengarkan oleh Ukhti Noor Taufikiah. Sejurus selepas itu, semua hadirin menjamu selera sambil menonton video khas sempena majlis perpisahan ini. Majlis kemudian diteruskan lagi dengan persembahan dari akhawat-akhawat yang diraikan. Kumpulan nasyid yang ditubuhkan pada malam itu telah membuat persembahan terbaik dan menyentuh hati dengan menasyidkan lagu “untukmu teman.”
~Nasyid terakhir sebelum tamat Visa~
Kemudian, para akhawat yang datang “dihidangkan” dengan makanan rohani yang disampaikan oleh akhawat senior, Kak Izah. Peringatan yang disampaikan telah memberi suntikan semangat kepada semua para akhawat. Antara pesanan dari Kak Izah adalah;
1. Kita mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang diimpikan sama ada untuk berjaya dalam pelajaran atau berjaya di dalam dakwah. Nilaian Allah terhadap kita bukan bergantung kepada sebesar mana apa yang kita mahu lakukan. Tetapi niat dan kesungguhan kita yang menjadi ukuran disisi Allah. Selagi kita masih dikurniakan kudrat berusaha lah untuk mencapai yang terbaik dalam kerjaya dan dakwah. Apa yang dilakukan mestilah hanya untuk mendapat redha Allah.
2. Kekuatan yang diperlukan untuk menghadapi ujian dan menangkis sifat mazmumah yang sekali sekala hadir dalam diri kita adalah dengan memujuk hati untuk datang ke program usrah, mukhayyam, daurah dan sebagainya. Ia adalah sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan dan memerlukan masa yang sangat panjang. Namun, kita mesti terus ISTIQAMAH meneruskan tarbiyyah untuk diri kita supaya hati kita sebati dengan tarbiyyah serta merasa tanggungjawab ini seronok untuk dilakukan tanpa paksaan dari sesiapa pun. InshaAllah Allah akan membantu sesiapa yang IKHLAS membantu agama Allah.
3. Sabar adalah kunci yang paling ampuh untuk mencapai kejayaan. Bersabarlah berada di jalan tarbiyyah ini walaupun ujian yang datang sangat berat sehingga kadang-kadang membuat kita hampir berputus asa. Sabar untuk terus berjuang sebagai seorang pelajar menuntut pengorbanan yang tinggi, bersabar dalam mentarbiyyah diri, bersabar mengajak orang melakukan kebaikan dan bersabar dalam apa saja yang kita lakukan. Apabila kita bersabar, inshaAllah kita akan dapat bertindak dengan bijak & teliti. Jadi, sesusah manapun ujian yang datang, inshaAllah ianya akan dapat diatasi.
~Pesanan berharga dari Kak Izah~
Seterusnya, cebisan nasihat berharga disampaikan oleh Ustazah Hayati sungguh memberi kesan di hati para akhawat yang hadir. Antaranya, ustazah menasihatkan kepada semua akhawat yang bakal menamatkan pengajian, supaya terus thabat di jalan tarbiyyah dan dakwah walaupun sentiasa diasak dengan kesibukan sebagai seorang doktor, saintis dan sebagainya. Selain itu, kita mestilah bertekad di dalam hati bahawa kemenangan Islam pasti akan dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Walau apa sekalipun yang terjadi, kafilah dakwah akan terus bergerak sehingga mencapai matlamat akhir iaitu kemenangan Islam. Bukannya dakwah yang memerlukan kita tetapi kitalah yang sangat memerlukan kepada dakwah. Jadi, berusaha dan berdoalah agar Allah menetapkan hati kita di jalan tarbiyyah dan dakwah ini sehingga ke titisan darah yang terakhir.
~Cenderahati sebagai kenangan~
Alhamdulillah, majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada para akhawat yang bakal “tamat visa” pengajian mereka. Kemudian, bacaan doa rabitah dan salam wida’ menutup majlis pada malam tersebut. Semoga usaha yang sedikit ini diberkati Allah. inshaAllah.