Aksi Belia Di KASBI Johor

 

20 Mac 2010- Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama JawatanKuasa Kolej  Mahasiswa Kolej 11 (JKM K11) Universiti Teknologi Malaysia, telah mengadakan Karnival Sukan Belia Islam (KASBI) Peringkat Negeri Johor bagi tahun 2010. Bagi memenuhi tuntutan sebagai seorang individu muslim, kita perlulah mempunyai kesihatan yang baik dan tubuh badan yang kuat bagi melaksanakan urusan dan tanggungjawab seharian. Justeru, tema ‘Kita Sihat, Islam Kuat’ telah dipilih bagi KASBI Johor 2010 kali ini.

Tema tersebut dipilih juga adalah selari dengan sabda Rasullullah saw: “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.”. Islam merupakan satu agama yang syumul, senantiasa mengambil berat urusan dan hal ehwal umatnya disamping menjaga  hubungan dengan Yang Maha Pencipta. Islam bukanlah tertumpu kepada aspek peribadatan sahaja, malah ianya merupakan satu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi, sosial, kesenian, ketenteraan, politik dan tidak terkecuali sukan. Namun begitu Islam turut menyediakan garis panduan dan landasan sebagai rujukan bagi menjalankan setiap gerak kerja umatnya supaya tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki.

Bermula jam 7.45 pagi, peserta-peserta sudah tiba diperkarangan gelanggang Kolej 11, UTM Skudai bagi memastikan status pendaftaran pasukan masing-masing. Seramai lebih kurang 70 orang belia dan 50 orang beliawanis daripada IPT sekitar Negeri Johor telah berjaya menyertai KASBI Johor ’10. Acara yang julung-julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk melahirkan para belia Muslim yang cemerlang daripada aspek jasmani dan sosial di samping untuk membantu membentuk kefahaman, kerjasama erat dan persaudaraan kukuh berteraskan Islam di kalangan peserta.

Aturcara diteruskan dengan bacaan doa pembukaan dan upacara perasmian karnival. Upacara perasmian karnival telah disempurnakan oleh Felo Kolej 11, Lt. M Mu’ammar Sirajudin Bin Ibrahim. Dalam ucapannya, beliau memberi saranan kepada semua peserta agar bermain dengan  penuh semangat kesukanan dan kekeluargaan. Menurut beliau, dengan bersukan dapat membentuk peribadi diri yang mulia seperti membina kesepaduan menerusi kesabaran, ketepatan masa, bertolak ansur, kerjasama di samping membentuk tubuh badan yang sihat. Beliau juga menekankan agar golongan belia masa kini untuk bertindak aktif dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berpersatuan sama ada di dalam atau di luar universiti.

Setelah selesai upacara perasmian, semua peserta diminta untuk membuat persiapan sebelum memulakan perlawanan. Semua peserta wanita bergerak ke padang KDSE, bagi melangsungkan acara yang dipertandingkan berasingan dengan peserta lelaki. Dengan penglibatan kaum wanita di dalam karnival ini, ia perlulah mengikut tatacara dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam, ini kerana Islam amat menekankan kepentingan pemeliharaan maruah dan kedudukan seorang muslim.

Bagi kategori lelaki, hanya permainan futsal yang dipertandingkan. Sebanyak 10 pasukan berjaya menyertai dan dibahagi kepada 2 kumpulan. Untuk permainan futsal, setiap pasukan akan bermain seramai 5 orang pemain dan bermain selama 5 minit bagi setiap separuh masa. Setiap pasukan akan bermain diperingkat kumpulan terlebih dahulu dan dibuat secara liga sebelum ke peringkat kalah mati. 2 pasukan daripada setiap kumpulan yang mengumpul jumlah mata tertinggi akan layak meneruskan perlawanan pada separuh akhir dan bermain secara kalah mati. Sebanyak 4 pasukan telah berjaya memasuki separuh akhir iaitu Roti John Special FC, Marsah FC, KIJ B dan Onsang Karable. Setiap pasukan telah mempamerkan skil dan aksi yang cukup mantap disepanjang perlawanan berlangsung. Namun, adat bertanding ada menang dan kalah. Pasukan Roti John Special FC daripada UTM telah berjaya menjadi johan futsal pada karnival kali ini. Seterusnya diikuti KIJ B di tempat kedua dan Onsang Karable di tempat ketiga. Manakala pasukan Marsah terpaksa akur dengan kehebatan pihak lawan dan terpaksa berpuas hati ditempat keempat.

Di sepanjang perlawanan berlangsung, setiap peserta telah menunjukkan bakat dan kemahiran masing-masing di atas gelanggang. Walaupun mereka terpaksa bermain di dalam hujan renyai dan menghadapi keadaan  lantai gelanggang yang licin, namun, setiap peserta masih lagi menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan mutu permainan yang baik. Inilah antara nilai-nilai yang perlu diterapkan dalam jiwa setiap individu muslim supaya mereka tidak mudah berputus asa terhadap ujian-ujian yang dihadapi. Setiap sesuatu yang berlaku itu, ada hikmah di sebaliknya.

Upacara penutupan dan penyampaian hadiah telah diadakan sejurus sahaja tamat perlawanan akhir sekitar jam 1.30 petang. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Saudara Azman B Bakri, wakil dari PEMBINA. Johan bagi pertandingan futsal telah membawa pulang hamper dan wang tunai beserta piala pusingan. Bagi tempat kedua dan ketiga, sekadar membawa pulang hamper dan wang tunai. Rata-rata peserta semuanya berpuas hati di sepanjang penganjuran karnival dan berharap agar program seperti akan diadakan diadakan lagi pada masa akan datang. Menurut Saudara Amir Hamzah, pemain pasukan Roti John Special FC pelajar UTM jurusan Geomatik, beliau sangat tertarik dengan cara pelaksanaan program ini dengan mengasingkan tempat diantara lelaki dan wanita. Tambahnya lagi, di samping bermain futsal kita juga dapat berkenalan diantara peserta daripada IPT lain sekitar Negeri Johor dan berharap jalinan ukhuwah yang dibina terus kekal dan diredhai Allah S.W.T.

Akhir sekali, seluruh warga PEMBINA Negeri Johor dan Jawankuasa Pelaksana KASBI Johor 2010, mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua peserta yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi disepanjang perjalanan program. Setinggi – tinggi syabas kepada pasukan yang menang dan pada pasukan yang kurang bernasib baik untuk tidak berputus asa, cuba lagi di masa akan datang, InsyaAllah. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 11 kerana sudi bekerjasama dalam menjayakan KASBI Johor 2010.

Semoga berjumpa lagi pada masa akan datang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top