“… Kau tahu siapa TPM kita sekarang?”
“Ala, aku ingat. Jap…”
“Aku bagi hint. Nama dia ada sama macam amalan kebiasaan masyarakat melayu Islam setiap Jumaat malam.”*
Di atas ini adalah sebuah perbualan yang saya sendiri alaminya. Sukar bagi saya sebenarnya untuk menerima hakikat bahawa rakyat sesebuah negara tidak tahu nama pemimpin-pemimpinnya sendiri. Bahkan lebih teruk lagi, fenomena ini turut melanda pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, sedangkan merekalah orang yang bakal pulang menjadi tonggak utama negara di masa yang akan datang!
Tak hairanlah jika statistik menunjukkan seramai 1.9 juta orang Melayu atau 43 peratus daripada 4.3 juta pengundi yang layak mengundi, belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) [1]. Lebih teruk lagi, secara nisbahnya, hanya SATU orang Melayu Muslim yang telah berdaftar mengundi berbanding 40 orang bukan Melayu Muslim. Realiti ini andai berterusan beberapa tahun lagi bakal membawa implikasi yang besar terhadap struktur pentadbiran negara kerana Malaysia boleh jadi terlepas daripada tangan orang Islam! (Na’uzubillah…)
Belia Islam Kurang Cakna
Mungkin ada yang mengatakan bahawa pilihanraya umum lambat lagi. ‘Nanti-nanti’ adalah yang akan mendaftarkan diri. Saya pun harap begitulah. Tapi pendaftaran pengundi mengambil masa hampir 6 bulan. Siapa jamin yang Pilihanraya Umum seterusnya tak berlaku pada tahun hadapan?
Sebenarnya, sedikit sebanyak situasi ini memberikan gambaran kepada kita bahawa masyarakat Melayu Muslim kurang cakna tentang peri pentingnya penglibatan kita dalam isu-isu politik dan urusan pentadbiran negara. Cukup selamat untuk saya katakan bahawa majoriti, kalaupun bukan semua, 1.9 juta orang yang belum mengundi adalah dari kalangan belia.
Pada hemat saya, salah satu faktor utama yang menyumbang ke arah berlakunya fenomena ini adalah kejayaan musuh-musuh Islam dalam melalaikan belia-belia Melayu Islam dengan hiburan-hiburan yang melampau, tenggelam dalam kisah-kisah dan hubungan percintaan kayangan, dan usaha endoktrinasi mentaliti yang hanya mahukan perkara-perkara yang ‘simple’ dan tidak menyerabutkan kepala sekaligus melazatkan. Adapun isu-isu politik pentadbiran negara adalah suatu yang susah, serius, berat, padat dan ‘menyerabutkan kepala’. Jadi, mengapa mahu sibuk-sibuk?
Politik Itu Busuk?
Ada pula di kalangan kenalan-kenalan saya yang menjauhi politik kerana merasakan ia sesuatu yang menjijikkan. Apa tidaknya. Kita sering disajikan gambaran-gambaran ahli-ahli politik yang saling ‘membongkar kisah-kisah panas’ lawannya untuk menjatuhkan maruah, tanpa mengambil kira kesahihannya; bersungguh-sungguh mencari kesalahan pada kata-kata dan perbuatan lawannya dan ‘agenda tersembunyi’ walaupun yang dilakukan itu baik hanya kerana mereka adalah ‘lawannya’; bertengkar dan bertikam lidah, sehinggakan ada yang bertumbuk-tampar dan saling membaling kerusi dan segala macam lagi perangai kebudak-budakan yang lain. Di penghujungnya, rakyat masih terpaksa berdepan dengan kehidupannya yang semakin mencabar dan kemerosotan sosial yang tak pernah surut. Kalau inilah yang dilihat oleh kenalan-kenalan saya dan dibenci mereka, maka saya sepenuh hati bersama mereka.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah wajah politik yang sebenar. Ini adalah politik busuk murahan yang diperjuangkan oleh mereka yang berpegang kepada politik ajaran barat yang bertentangan dengan nilai Islam. Politik sebegini yang lebih dikenali sebagai ‘Real-politik'[2] ini didasari oleh prinsip Machiaveli[3] yang mengajar pengamalnya untuk menggunakan segala tipu helah tanpa mengambil kira prinsip, moral dan nilai agama dalam mengejar kuasa dan kekayaan. Atas dasar inilah, maka “semua jalan!”
Politik Kita
Bagi kita, politik merangkumi dasar yang lebih luas sekadar memenangi pilihanraya. Izinkan saya petik kata-kata idola saya, Al-Imam Hassan Al-Banna dalam isu ni:
“Wahai sekalian bangsaku,
Kami menyeru kamu dengan al-Quran yang ada di kanan kami dan sunnah yang ada di kiri kami, serta amalan salafussoleh yang menjadi teladan kami. Kami menyeru agar kamu mengamalkan Islam, ajaran Islam, hukum-hakam Islam dan petunjuk Islam. Jika ini kamu rasakan sebagai politik maka inilah politik kami. Jika orang yang mengajak kamu ke arah prinsip ini kamu anggap sebagai ahli politik maka syukur kepada Allah, kerana kami adalah orang yang paling memahami tentang politik. Jika kamu mahu gelarkan itu sebagai politik maka katakan apa yang ingin kamu katakan. Gelaran-gelaran ini tidak akan menggugat kami jika hakikat dan matlamat sebenarnya telah jelas.
“Wahai sekalian bangsaku,
Janganlah istilah-istilah ini menutup mata kamu daripada menilai kenyataan. Janganlah nama-nama yang digunakan ini menutup semua kebenaran. Janganlah luaran itu menutup segala hakikat. Islam sememangnya mempunyai dasar politik untuk membawa kebahagiaan di dunia dan kejayaan di Akhirat. Inilah politik kami dan kami tidak ada pilihan lain. Oleh itu ketengahkanlah politik ini dan ajaklah orang lain berlandaskan politik ini, nescaya kamu akan beroleh kemuliaan di akhirat. Kamu pasti akan memahaminya bila sampai masanya.”
(Himpunan Risalah, Dakwah Kami)[4]
Marilah bersama-sama kita memahami dan menghayati bahawa politik yang kita inginkan merangkumi segenap perkara yang berkait dengan urusan pentadbiran umat Islam. Selagi mana ia menyentuh hak, kebajikan dan kehidupan umat Islam walau sekecil mana sudutnya sekalipun, sepatutnya kita pertahankan dan perjuangkan. Bukanlah saya mengajak anda untuk terjun ke bidang politik dan cuba bertanding menjadi wakil rakyat atau masuk terlibat dalam parti-parti politik. Melibatkan diri dalam politik dalam erti kata yang luas bermaksud kita meningkatkan kepedulian kendiri terhadap isu-isu pentadbiran dan pemindahan kuasa yang di negara ini, kita memberikan kefahaman kepada orang-orang di sekeliling kita tentang prinsip kehidupan dan sistem pentadbiran Islam yang sebenar yang kita mahukan. Dan yang akhir sekali tetapi bukan terakhir adalah untuk anda berani memperjuangkan hak anda, mempertahankan hak anda apabila dicabar dan meletakkan agenda tersendiri supaya anda tidak dipermainkan oleh agenda orang lain.
Saya berharap, di lain masa saya temui kembali sahabat saya tersebut, bukan sahaja beliau tahu siapa TPM, bahkan beliau sendirilah TPM.
Wallahu’alam. Allah sebaik-baik penolong.
* Amalan membaca surah Yaasin.
** Bagi siapa yang masih tak tahu: TPM Malaysia adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
SUMBER:
- Berita Harian, “1.9 juta Melayu layak mengundi belum mendaftar”, http://www.bharian.com.my/articles/1_9jutaMelayulayakmengundibelummendaftar/Article
- Realpolitik, http://en.wikipedia.org/wiki/Realpolitik
- Prinsip Machiavelli, http://en.wikipedia.org/wiki/Machiavellian
- Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna, Himpunan Risalah, Dakwatuna (Dakwah Kami),