Bayaran Sebuah Impian

“Allah memberi rezeki kepada hambaNya sesuai dengan kegiatan dan kemahuan kerasnya serta cita-citanya” [Hadis Riwayat Ath-thusi]

Mereka tersenyum, ketawa. Ada yang serius, ada yang bersahaja. Kita lalu dihadapan berbondong-bondong manusia setiap hari. Tidak tahu apa yang mereka fikirkan, apa yang mereka impikan.

Yang mampu dilihat, mereka sibuk. Kalaulah bukan kerana impian, mereka mungkin tak seperti itu.

“Doakan abang berjaya bu”, kata seorang anak yang soleh.

“Saya akan tunggu kamu kembali ke sini, sehingga kita mampu mencapai cita-cita itu. Dapatkan yang terbaik!”, oleh seorang rakan yang mengikat janji kejayaan bersama.

Impian itulah yang dikatakan sebagai harapan. Ia adalah batu-batan jalan yang mengarahkan kita bergerak ke hadapan. Tiada harapan, hilanglah jalan itu, lalu hilanglah si dia mencari arah.

KONGSIKAN IMPIAN

Saya bukanlah jenis yang suka menceritakan hal peribadi. Tetapi, tentang impian, ia adalah sesuatu yang perlu dikongsi. Tanpa perkongsian bagi saya, adalah sekadar mimpi, yang hanya dilakar di awan mimpi. Biarlah kita terus terang, tiada siapa yang mahu merendah-rendahkan impian yang besar.

Ibarat Muhammad Al-Fateh yang bercita-cita ingin membebaskan konstantinopel, menjadikan dirinyalah orang yang disebut seperti di dalam hadis. Beliau menjadi pemimpin yang berpengaruh, kerana cita-citanya.

Ibarat Salahuddin Al-Ayubi, membesar dengan semangat membara untuk mengembalikan tanah Palestin kepada umat Islam. Beliau mampu mengumpulkan tentera yang gagah, kerana semangatnya untuk mendapatkan tentera yang sesuai dengan impiannya.

Lalu kita ini, mengapa tidak.

Biarlah impian kita ini diceritakan, mungkin yang mendengar itu menyediakan teksi, bas atau keretapi untuk sampai ke sana. Sekurang-kurangnya, mereka yang pernah atau telah mencapai impian memberi kunci ke pintu seterusnya. Pastikan kita sampai ke jalan akhirnya.

TERBANG JAUH MENUJU IMPIAN

Ustaz Ajai bersama pelajar yang akan ke Mesir & Jordan (2010)

Setiap tahun, saya mesti datang ke KLIA untuk menghantar pelajar-pelajar yang akan ke timur tengah di bawah tajaan MAINS( ke Mesir , Jordan dan Morokko). Kebanyakan dari mereka adalah kenalan-kenalan saya.

Di sana, mereka bersama cita-cita yang besar.

Ibu bapa, sanak-saudara, adik beradik, rakan-rakan semuanya bersama memberi sokongan yang hebat di sana.

“Adik belajar rajin-rajin, dengar cakap mak abah..”

 

Mendengar kata-kata dari mereka yang akan pergi, seringkali membuatkan saya merasa hiba.

Meninggalkan keluarga, memberikan keyakinan, bahawa mereka akan pulang membawa segulung kejayaan.

Mereka telah membayar harga sebuah impian dengan pengorbanan yang sangat besar, menuju cita-cita yang mereka idam-idamkan.

Saya kembali melihat diri sendiri, berapa banyakkah yang aku bayar untuk impian ini?

Bersama akh Syukri yang ke Mesir bersama impiannya~ Kami bertiga merupakan rakan yang sangat rapat

IMPIAN YANG TAK TERCAPAI

Namun, sudah pastinya, sejauh mana sekalipin kita memasang impi, bukanlah satu yang mustahil ia mampu terbang begitu sahaja.

Mungkin hari itu, kita telah membayar waktu, wang, pengorbanan, namun setelah usaha yang panjang itu, rupa-rupanya ia bukan milik kita.

Lalu sekali lagi kita perlu membayarnya dengan harga sebuah keredhaan.

Cantik sekali ungkapan analogi ini;

“Aku meminta hari yang indah, tetapi Allah berikan aku hujan dan guruh.. rupa-rupanya Allah ingin hadiahkan aku pelangi yang indah”

Mungkin hari ini, kita tak dapat apa yang kita MAHU, tetapi hari kemudian rupa-rupanya Allah memberikan apa yang kita PERLU.

Itulah bentuk ujiannya.

“Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ‘ Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ” [Surah At Taubah : Ayat 59]

Tak semestinya yang cantik dan menarik itu indah dan gembira. Ia mesti dicalit sedikit kekecewaan, kesedihan, kerugian dan kelemahan. Lalu terukirlah hasil seni yang dinamakan kehidupan.

Heh, inilah dia kehidupan.

Sejauh mana kita bertahan dengan hakikat seni ini.

TIDAK ADA ISTILAH TIADA HARAPAN

Mungkin kalau di dalam dunia medikal, seseorang yang berada di dalam final stage dikatakan tiada harapan, atau dalam erti kata lain, menunggu maut.

Tetapi bagi seseorang yang mempunyai impian, sebenarnya tiada istilah tiada harapan.

Dahulu saya diajar, “lupakan sahaja”. Rupa-rupanya itu satu tanggapan yang silap. Saya belajar dalam kehidupan ini, dalam keadaan bagaimana sekalipun kita mampu menghidupkan kembali harapan yang ‘hilang’.

Sebagai contoh saya mungkin mempunyai kecenderungan yang sangat tinggi dalam dunia medik. Tetapi, saya tetap berada bersama impian kecil saya ingin menjadi seorang arkitek. Adakah saya tiada harapan? Atau, adakah saya perlu menghabiskan dunia seni bina ini kemudian mengambil jurusan medik?

Heh, mustahil.

Minat saya yang melepas dalam dunia medik tidak menghentikan saya belajar dari dunia itu. Lalu, saya cuba membantu dan memberi pengharapan terhadap ‘bakal-bakal doktor’, dunia ini, laluannya, sehinggalah cabang-cabangnya seperti allied health science. Alhamdulillah, sedikit sebanyak penulisan saya dalam jurusan ini membantu sebahagian dari mereka kearah bidang ini, insyaAllah.

Dan yang paling penting, buat adik saya sendiri, saya suapkan minat kepadanya.

Contoh yang lain, pada tingkatan 1 saya pernah mempunyai impian untuk menguasai (memimpin) makmal komputer sekolah yang ketika itu masih belum siap. Saya membina foundation dan mewujudkan team multimedia yang terlatih ketika tingkatan 4 dan 5. Kami mula dikenali di peringkat guru-guru, dan seringkali dipanggil dalam urusan multimedia. Saya gagal menguasai makmal seperti yang diimpikan.

Walaubagaimanapun setelah setahun (ketika itu saya diperingkat matrikulasi), grup saya berjaya mengambil alih makmal. Bermakna impian itu memang tercapai.

Jika tak mampu mencapai sebuah impian, ajar dan didiklah mereka mencapai impian itu. Kejayaan mereka adalah kejayaan anda juga. Jangan sesekali tarik diri dari ‘seni bina’ impian itu.

JIKA ANDA MEMPUNYAI IMPIAN LINDUNGILAH IA

Mencipta impian itu percuma. Ia tak perlu bayar dan sangat mudah. Tetapi untuk mencapainya seseorang itu perlu membayar harganya.

Biarlah letih, kalaulah anda yang dahaga tentu sekali anda berusaha untuk membayar apa sahaja untuk mendapatkan air.

Namun, siapa yang mahu jika apa yang telah dibayar menjadi ‘sia-sia’?

Untuk itu, jika anda mempunyai sebuah impian yang besar, lindungilah ia. Tiada siapa yang mampu merendah-rendahkannya. Tiada siapa yang boleh mengatakan anda tak boleh melakukannya. Tiada siapa juga yang berupaya untuk menggagalkannya.

Impian itu ditangan anda.

Lindungi ia. Genggam bara api, biar sampai jadi arang.

BERDOA DAN BERTAWAKALLAH

Kata orang, kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

Tidak dapat tidak, kita mesti menerima hakikat yang kita ini hanyalah hamba. Sejauh mana pun usaha kita mendapatkan sesuatu, ia masih lagi aturan dan penentuan dari Allah samada ia boleh dimakbulkan atau tidak.

Impian itu adalah perancangan yang ingin kita capai. Pastinya untuk mencapai itu, sentiasa ada masalah-masalahnya, justeru itu spiritual kita pasti akan mencari penyelesaian dengan bantuan dari-Nya. Bentangkanlah segala kelemahanmu, kerendahanmu, permasalahanmu insyaAllah, Dia pasti akan membantu.

“Apakah ada siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa, dan menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada di samping Allah tuhan yang lain? Terlalu amat sedikit apa yang dapat kamu mengingati.” [Surah al-Naml : 62]

Setelah kita berusaha, berdoa, maka letakkanlah segalanya pada Allah.

Tawakkal.

***************

Buat diri ini, yang telah membayar harga impian yang tinggi, usahlah bersedih terhadap sesuatu yang hilang, sesuatu yang pergi, sesuatu yang tidak mampu. Buat diri ini yang inginkan impian, teruskan melangkah, mungkin belum masanya untuk melihat hadiah daripada lakaran dan investment impian ini.

Semangat!

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” [Surah Al-Baqarah : 216]

http://senikehidupan.wordpress.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top