“Jah, kau tau tak kawan aku cakap, dia dapat tahu dari jiran dia, Sal. Laki Sal dengar dari kawan dia bekas polis dalam group whatsapp reunion sekolah tahun 1970-1979 kampung XX yang perintah darurat akan dilaksanakan selepas ni. Aku risau laa Jah”
“Ye ke Pah? Ish takutnya. Kena bagitau keluarga aku sekali ni”
“Kena bagitau cepat Jah, nanti tak sempat buat apa-apa susah.”
“Haa yela. Eh, kau masak apa harini?…”
Dialog di atas merupakan contoh dimana sebuah bicara berbasa basi boleh jadi sebuah berita palsu. Menurut berita dari portal Astro Awani pada Tarikh 5 April 2020, sebanyak tiga berita palsu telah dilaporkan. Berita palsu pertama telah dibidas oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pusat kuarantin yang daif di Sabah. Berita palsu berkenaan peningkatan kes keganasan rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan kenaikan peratusan panggilan ke Talian Kasih sebanyak 57 peratus. Hal ini telah dinafikan Kementerian Wanita dan Keluarga dengan merujuk bahawa peningkatan itu sebenarnya turut merangkumi kategori lain termasuk hal berkaitan wabak COVID-19, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kes kaunseling dan lain-lain. Berita palsu yang ketiga adalah berkenaan Ayat 33 dalam Surah Al-Ahzab mempunyai kaitan dengan tiga kes kematian pada 3 April 2020 dan jumlah 3,333 kes positif COVID-19. Ia telah dibidas oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana mengaitkan sesuatu peristiwa berdasarkan kaitan nombor dengan ayat Al-Quran adalah metodologi penafsiran yang salah sama sekali.
Berita palsu mendatangkan akibat yang menyusahkan orang ramai. Jika ia datang dalam bertimbun-timbun, nescaya orang akan hilang kepercayaan dan menimbulkan panik. Ini akan menyukarkan lagi pihak berkuasa untuk mengawal keadaan negara yang diancam wabak Covid-19 ini. Islam telah meletakkan asas untuk umatnya berhati-hati dalam menerima suatu berita yang dinamakan Tabayyun. Allah berfirman dalam Al-Quran pada ayat ke-6 Surah Al-Hujarat:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
Bahkan telah disertakan lagi akibat tidak periksa sumber dan kesahihan berita dalam Al-Quran pada surah yang sama ayat 12:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat, 12)
Maka hendaklah kita sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab selalu memeriksa sumber suatu berita untuk tidak lagi merumitkan keadaan. Di musim wabak penyakit ini kita hendaklah akur pada perintah kerajaan dan memperbanyakkan doa dalam kehidupan kita untuk bersedia menghadapi segala kemungkinan. Wallahualam
Ditulis oleh:
Najmuddin Bin Mohd Faudzir
(Jawatankuasa Pembangunan Organisasi PEMBINA Batu Pahat)