
DAMANSARA, 16 Ogos – Naib Presiden II merangkap Ketua Beliawanis PEMBINA, Nor Hasni Hayati Hanapi berkesempatan menjadi tetamu rancangan “Let’s Talk” yang disiar di Malaysian Observer TV (mobTV). Beliau mewakili PEMBINA telah mengiktiraf usaha-usaha murni “baby-hatch” yang banyak menyelamatkan bayi-bayi luar nikah dan membantu anak-anak tidak berdosa itu daripada diabaikan masyarakat.
Namun Nor Hasni menekankan usaha-usaha merawat permasalahan akar isu ini perlu dipergiatkan. PEMBINA mendorong aktiviti kesukarelawan dan partisipasi belia dalam aktiviti sihat sebagai usaha menyekat atau membasmi kes-kes zina yang boleh membawa kepada pembuangan bayi. “PEMBINA mempromosikan nilai-nilai dan cara hidup Islam kepada belia, mengajak kepada hidup beragenda”, ulas beliau berkenaan usaha PEMBINA.

Di akhir temuramah, Nor Hasni menegaskan bahawa PEMBINA bertekad untuk menggiatkan lagi usaha-usaha mempromosikan cara hidup Islam, mempengaruhi lebih ramai belia, serta bekerjasama dengan pihak-pihak lain bagi membanteras gejala sosial.
Rancangan terbitan mobTV itu turut mengundang Noraini Hashim, Timbalan Presiden OrphanCARE dan dikendalikan pengacara popular Zalina Azman.
-mediaPEMBINA-