Ayuh Kita Pecahkan Ruyungnya

Pada ketika ini, kebanyakan pelajar-pelajar IPT sedang sibuk mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang. Begitu juga adik-adik kita di Tingkatan lima yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang sebulan daripada sekarang. Tidak kurang juga mereka yang sedang menghadapi peperiksaan itu sekarang. Kiranya belum terlewat untuk saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar yang bakal dan sedang menghadapi peperiksaan. Semoga Allah mengurniakan kejayaan cemerlang kepada anda semua, seterusnya membuka jalan seluas-luasnya kepada anda untuk menyumbang kepada kesejahteraan umat.

Pada ketika ini juga, para jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia mula membanjiri tanah suci semata-mata demi menyahut panggilan Ilahi dan menjadi tetamu-Nya. Laungan talbiah, Labbaika Allahumma Labbaik, bakal berkumandang nyaring di udara, lambing ketulusan hati para jemaah haji dan kesungguhan mereka dalam mengerjakan rukun Islam kelima ini. Semoga Allah mengurniakan haji yang mabrur kepada mereka, mengampunkan dosa-dosa mereka serta menjadikan mereka lebih komited kepada Islam sekembalinya mereka ke tanah air.

Saudara-saudara sekalian!

Tidak berapa lama lagi, kita akan menyambut hari raya Aidil Adha, iaitu hari raya korban. Lazimnya pada hari raya korban ini, ramai saudara-saudara kita yang akan melakukan ibadah korban. Lembu, kambing, kerbau mahupun unta bakal disembelih bagi merebut redha Allah. Setiap bulu binatang korban merupakan kebajikan kepada tuannya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

“Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”.(Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Saban tahun kita menyaksikan penyembelihan haiwan korban. Akan tetapi, adakah kita benar-benar menghayati falsafah dan pengajaran di sebalik pensyariatan ibadah korban ini?

Sebenarnya, ibadah korban ini merupakan menifestasi ketaatan dan ketundukan Saidina Ibrahim A.S dan Saidina Ismail A.S kepada Allah. Nabi Ibrahim A.S telah diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail A.S. Ketika Nabi Ibrahim A.S bersedia untuk menyempurnakan perintah Allah ini, kedengaran seruan:

“Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu!” (Ash-Shaffat: 104-105)

Lalu Allah memerintahkan Nabi Ibrahim A.S menyembelih seekor binatang sembelihan yang besar sebagai ganti kepada Nabi Ismail A.S. Peristiwa agung inilah yang dikenangi setiap kali majlis penyembelihan haiwan korban semasa hari raya Aidil Adha. Pengorbanan suci inilah yang sepatutnya diinsafi serta dicontohi oleh setiap orang Islam yang menyaksiakan ibadah korban pada setiap tahun.

Sahabat-sahabat pewaris umat sekalian,

Sesungguhnya setiap kejayaan perlu kepada pengorbanan. Bak kata pepatah melayu: “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Qudwah kita Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda:

“Ketahuilah sesungguhnya kemenangan bersama kesabaran, dan kelapangan bersama kesusahan. Sesungguhnya berserta kesukaran itu ada kemudahan” (Hadis No. 19 Matan Arba’ien)

Tanpa pengorbanan masa, keinginan, tenaga dan harta pelajar-pelajar kita tidak akan dapat mengecap kejayaan dalam peperiksaan. Tanpa pengorbanan harta, masa dan tenaga, para jemaah haji tidak akan sampai ke tanah suci bagi mengerjakan haji. Tidak ada apa-apa perkara yang bernilai yang mampu kita sumbangkan kepada manusia, jika kita tidak bersedia untuk berkorban. Sejarah perjuangan Islam sarat dengan contoh-contoh pengorbanan. Demikian juga sejarah manusia keseluruhannya. Orang-orang yang hebat dalam sejarah adalah orang-orang yang sanggup berkorban…

Oleh itu wahai sahabat-sahabatku, ayuh kita berkorban demi Islam yang kita cintai!

Abu Laits as Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari ibn Abbas, Nabi s.a.w bersabda:-

Tiada sesuatu hari yang mana orang beramal soleh di dalamnya, yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari ini (1 hingga 10 zulhijjah)”

Sahabat bertanya: “Walaupun jihad fi sabilillah ya Rasulullah?”

Jawab Rasulullah s.a.w.: “Walaupun jihad fi sabilillah kecuali jika seorang keluar dengan membawa semua hartanya dan tidak ekembali sama sekali (yakni  habis semua hartanya dan mati syahid)”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top