Seremban, 12 Mac 2010 – Alhamdulillah, PEMBINA Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Kolej Negeri telah berjaya mengadakan Forum ‘Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung’ sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1431H di peringkat kolej baru-baru ini. Program ini merupakan program sulung PEMBINA NS di Kolej Negeri yang terletak di Seremban 2 dan menyaksikan kehadiran sekitar 60 orang di kalangan staf serta pelajar kolej tersebut.
PEMBINA NS membawakan forum ini dengan objektif untuk menjelaskan kepada para belia yang hadir berkenaan landasan pergaulan dan perkahwinan Islam yang sebenar selain memperkenalkan PEMBINA sebagai sebuah organisasi belia di tanahair. Forum kali ini menampilkan dua orang panelis jemputan Sdr. Norzafry Norhalim (Timbalan Presiden PEMBINA) dan Ustazah Kauthar Jamaludin (AJK PEMBINA NS) bagi mengupas tajuk yang menarik ini serta berkongsi pengalaman mereka dengan para hadirin. Manakala Sdr. Muhammad Arif Hamzah bertindak selaku moderator forum.