BANGI, 12 Feb – Akademi Beliawanis PEMBINA (ABP) telah diadakan 3 hari 2 malam di Bandar Baru Bangi, Selangor. Seramai lebih kurang 50 orang beliawanis wakil dari seluruh negeri Malaysia yang hadir. Terdapat pelbagai perkongsian dan aktiviti yang dijalankan seperti slot Pengucapan Awam, Kita Adalah Wartawan Ummah dan ‘High-Impact Writing’.
Menurut pengarah program, saudari Nur Afirah, beliau menyatakan ABP 2017 merupakan sebuah program yang dijenamakan semula dari Akademi Tokoh Beliawanis. Objektif ABP 2017 kali ini adalah bertujuan memberi pendedahan kemahiran serta mengasah bakat beliawanis dalam pengucapan awam, penulisan dan latihan untuk Beliawanis PEMBINA dalam menguasai isu beliawanis dan menjadi ejen penyampai agenda PEMBINA.
Beliawanis yang sertai ABP tahun ini juga menunjukkan keterujaan semasa menghadiri program ini. “ABP kali ini sangat menarik! Saya dapat banyak tips dan ilmu yang tidak ternilai dari penceramah dan mencungkil bakat terpendam. Beliawanis yang lain perlu turut rebut peluang emas yang datang hanya sekali ini” kata saudari Aimi Nabilah bt Sukor, salah seorang peserta dari Pahang yang juga Johan Pertandingan Pengucapan Awam yang dilangsungkan pada hari terakhir program.
Akademi Beliawanis PEMBINA (ABP) 2017 menekankan penerapan 7 Nilai Beliawanis dalam diri setiap muslimah yang merangkumi peranan beliawanis dalam kewajipannya menyebarkan islam yang syumul dan mendidik generasi masa hadapan dengan fahaman islam yang sebenar adalah sedikit ucapan perasmian program oleh saudara Mohd Eqwan Mohd Roslan selaku Presiden PEMBINA.
Ketua Beliawanis PEMBINA, saudari Khairunnisa dalam ucapannya menyarankan beliawanis supaya mengambil posisi ikon belia bagi menyampaikan dakwah Islam dalam kalangan masyarakat.
Ahli Jawatankuasa Beliawanis PEMBINA juga bersedia mengadakan kesinambungan bagi program Akademi Beliawanis PEMBINA (ABP) di masa hadapan bagi menyediakan platform kepada lebih ramai beliawanis untuk beraksi di pentas dakwah.