Sesetengah orang menganggap kemunculan Adam Adli sebagai figur baru kebangkitan mahasiswa hasil penekanan AUKU yang dirasakan sebagai undang-undang drakonian yang menyekat kebebasan ahli-ahli institusi akademik. Beliau yang mencuri perhatian umum setelah menurunkan bendera Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika satu demonstrasi kini diangkat sebagai tokoh oleh mereka-mereka yang bersetuju dengan beliau dan beliau kerap dijemput berucap di pentas-pentas seluruh negara. Ramai bersimpati dengan perjuangan beliau, bahkan beliau mampu mengumpul sehingga 36,000 lebih “Like” di Facebook.
Saya berpendapat kita perlu melihat isu Adam Adli dan kelesuan mahasiswa ini dalam beberapa aspek. Yang pertamanya adalah aspek ciri-ciri yang patut ada pada belia seperti; keberanian menyatakan pendapat,yakin dengan apa yang diperjuangkan,kebolehan menguruskan ‘crowd’ dan seterusnya. Kebanyakan mahasiswa kita zaman kini amat kurang akan ciri-ciri yang disebutkan di atas. Mereka lebih banyak menumpukan masa kepada pelajaran atau pun aktiviti yang berbentuk hiburan. Semua ini akhirnya menyumbang kepada kelesuan aktiviti mahasiswa. Oleh yang demikian, beberapa ciri belia yang ada pada Adam Adli perlu dimiliki oleh mahasiswa yang lain supaya mahasiswa dapat memainkan peranan yang lebih besar selain daripada kecemerlangan akademik.
Namun, aspek seterusnya perlu dilihat lebih penting daripada aspek di atas. Sebagai seorang muslim, setiap tindakan kita mestilah didasari dan berada dalam lingkungan syariat Islam itu sendiri. Tanpanya, setiap tindakan kita tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Allah s.w.t. Ini adalah selari dengan hadis ‘niat’, hadis pertama dalam hadis 40 karangan Imam Nawawi.
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
Oleh yang demikian, kita semestinya menilai setiap yang berlaku dalam kes Adam Adli ini dari kaca mata Islam itu sendiri. Setiap tindakan yang berlaku (demonstrasi, ucapan-ucapan, menurunkan bendera) mestilah jelas objektifnya (niat) tidak bercanggah dengan Islam. Mahasiswa sepatutnya berhati-hati dengan laungan-laungan kebebasan dari Barat kerana laungan-laungan tersebut hanya mengambil kira logik akal tanpa mengambil kira aspek agama. Kita golongan mahasiswa perlu melakukan penilaian yang jelas sebelum melakukan sebarang tindakan kerana kita mahu setiap tindakan dapat memberi kesan yang positif kepada agama, bangsa dan negara.
Ciri-ciri pemuda seperti yang digariskan oleh Imam Hasan Al Banna:
1.Mempunyai iman atau keyakinan yang kuat
2.Keikhlasan atau kejujuran
3.Bersemangat
4.Beramal
Oleh itu, mahasiswa semestinya celik, rasional dan mempunyai penilaian yang bijak dalam memilih pemimpin atau ikon dalam perjuangan kebangkitan aktivisme mahasiswa. Nilai-nilai Islamik seperti taqwa, akhlak dan kematangan perlu menjadi keutamaan agar sifat-sifat tersebut dicontohi dan memenuhi perjuangan mahasiswa terlebih dahulu sebelum semangat dan keberanian.
Tg Asyraf Tg Izam
JKP PEMBINA