Disebalik kisah kereta dan senyuman

Impian saya. Saya ingin mengumpulkan seberapa banyak buku yang saya beli dengan hasil titik peluh saya sendiri. Kemudian buku-buku itu akan saya susun dengan cantik dalam sebuah perpustakaan persendirian di rumah saya . Saya ingin menghidupkan suasana di mana saya boleh mencium bau buku di setiap ceruk rumah serta seluruh ahli keluarga saya dapat berkongsi rasa kegembiraan, kesedihan dan keinsafan hasil daripada pembacaan yang saya rasai juga.

Tapi adakah anda rasa impian saya mudah?.

Abu hurairah meriwayatkan bahawa nabi muhammad saw pernah bersabda :

“Permohonanmu akan dimakbulkan jika kamu bersabar & jika kamu tidak berkata aku memohon tetapi permohonanku tidak dipertimbangkan.”

HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Tirmizi.

Selalu saya mendengar orang kata impian yang besar untuk jiwa yang besar. Betul! Jika saya inginkan impian untuk memiliki sebuah perpustakaan besar saya perlu kuat berusaha. Belajar dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan mampu untuk membina impian saya dan kata kuncinya tentulah saya perlu menjadi orang yang berjiwa besar. Dan jiwa-jiwa besar itu dimiliki oleh orang yang kuat usahanya, tegas dengan azamnya, dan tidak begitu memikirkan isu ‘sepele’ (masalah remeh).

Bagi sesiapa yang mahu di antara kamu hendak maju ke depan atau mundur ke belakang -tiap-tiap manusia tergadai (terikat ) disebabkan oleh usahanya.

(Surah Al Mudatsir 37-38)

 

Saya bawakan satu cerita untuk kita sama-sama fikirkan.

Kereta itu meluncur penuh hati-hati. Lalu dia pun membelokkan keretanya ke kiri.

“Cis! Kereta ni bukan nak bagi signal. Penat aku tunggu nak lintas, rupanya dia nak belok kiri pulak. Pemandu tak berdisiplin. Huh!”, rungut si pejalan kaki.

Kereta pemandu tersebut terus melaju. Muka si pejalan kaki berkerut seribu. Marah sungguh lagaknya. Buat rosak mood orang sahaja! Tiada lagi senyuman terukir di wajahnya. Kawan yang lalu disebelahnya pun tak disapanya. Mood tengah tak baik, tak boleh senyum!

*Cerita tamat.

Baiklah, sebagai manusia biasa, mungkin kesilapan kecil seperti ini mudah sahaja memberi kesan dan mengundang kemarahan kita. Kita juga sebagai manusia mudah sekali meradang apabila berlakunya peristiwa yang merosakkan mood kita. Cuba kita fikir. Bila kita marah, apa yang kita dapat? Adakah kereta tadi akan belok semula tiba-tiba dan berikan hadiah sejambak bunga sebagai minta maaf? Mungkin ada kebarangkalian hal seperti ini berlaku. Tapi amatlah tipis.

Apalah salahnya sekiranya kita mengatasi kemarahan kita dengan sekuntum senyuman. Apalah salahnya sekiranya kita berfikir dengan baik. Mungkin mentol lampunya rosak atau dia terlupa nak nyalakan lampu, sebab tu tak boleh buka lampu signal. Senyuman beserta dengan minda yang positif cukup menyelamatkan emosi kita,menyelamatkan wajah daripada kelihatan lebih tua daripada usia, menyelamatkan hubungan kita dengan manusia dan sekaligus kita akan mendapat pahala. Subhanallah!

Dan orang yang mempunyai fikiran yang positiflah kata kunci untuk menjadi orang yang berjiwa besar. Segala cubaan dan mehnah yang dilalui diatasi dengan fikiran yang sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Telah Allah janjikan didalam surah Al-sharh:

“Tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan..”.

Orang-orang yang berjiwa besar mempunyai keyakinan bahawa kesukaran yang dilalui pasti Allah berikannya kemudahan. Itu pasti, kerana Allah telah menjanjikannya.

Sekian. Selamat menjadi orang yang berjiwa besar untuk mencapai impian yang besar!

 

Sharifah Maimunah Syed Zaid

Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan

Bimbingan dan Kaunseling.

PEMBINA Gombak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top