LEMBARAN tahun baharu akan memberi makna andai disambut dengan sesuatu yang mampu membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, tiada percampuran lelakidan wanita bukan mahram, dan tidak bercampur denganhiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Kandungan majlis pula bertepatan dengan kehendak syarak.Islam merupakan cara hidup yang sesuai untuk sesiapa sahaja, di mana-mana, dan juga dalam apa keadaan sekalipun. Kita mestilah berpegang pada Islam seperti menggenggam bara api. Jelas, kita adalah sebahagian daripada orang Islam yang lain. Maka pada pengamatan saya, tidak patut berlaku percakaran antara umat Islam di Malaysia hanya kerana berselisihan mengenai sesuatu pendapat. Buang rasa ego dan rasa bangga dengan pendapat sendiri kerana kesannya akan terbengkalai segala urusan kerja seumpamanya.Dengan ilmu dan kefahaman yang benar, akan menjadikan kita menolak takliq buta.
Tahun 2016, kita bukan lagi sekadar pemerhati yang mengikut sepenuhnya bertaqlid but a. Islam bukan inginkan kita berjalan dalam kegelapan atau berfikir dengan pemikiran orang lain semata-mata. Islam itu jelas dengan tegas menyeru kita supaya melihat jalan dengan pandangan ilmu yang dibina atas dalil.
Hari ini kita berhadapan dengan ancaman musuh-musuh Islam yang terdiri daripada pihak kuffar, golongan munafik, ahli bidaah dan lain-lain. Mereka tidak menyerang dengan mengangkat senjata, tetapi berperang dengan perang saraf atau penjajahan pemikiran. Mudah-mudahan kita akan terjaga daripada tidur yang selesa dan lena serta bangkit membantu menegakkan Islam. Musuh-musuh Islam sentiasa mencari dan mengintai peluang andai ada kesempatan dan ruang untuk merosakkan umat Islam.
Perang saraf yang disalurkan di media-media dengan bahan bacaan mengakibatkan ramai umat Islam tewas melainkan mereka yang faham Islam dengan kefahaman yang benar. Mereka ini akan menjadi duri dalam Islam dengan topeng Islam Liberal. Kita tidak boleh berdiam diri menghadapi cubaan jahat yang hendak merosakkan Islam dengan hanya menjadi penonton sahaja. Kini masa untuk kita bertindak.
Kita hendaklah berusaha membongkar segala kesesatan dan tipu daya golongan kuffar, hanya bersepakat dan bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan dan tidak dalam keburukan. Kita mesti yakin dan rasa bahawa kita sedang berada pada posisi yang paling kuat. Wajib untuk kita menentang semua halangan yang cuba menyekat kebangkitan Islam.
Bersempena kedatangan tahun baharu ini, mari kita mulai sedar akan tanggungjawab kita sebenarnya amat berat. Kita memikul tanggungjawab terhadap diri, agama dan ummah. Yakinlah, kita merupakan generasi yang memiliki segala aspek kekuatan. Generasi yang hidupnya segar, jiwa dan fikirannya sentiasa membara. Kehidupan kini amat mencabar dan cukup istimewa, penuh dengan idealisme dan sarat dengan pelbagai kemahuan.
Melihat pula kepada institusi pengajian yang ada sekarang sudah tidak sepenuhnya boleh dijadikan kebergantungan untuk mendidik. Sungguh, kita perlukan maklumat yang terang, jelas dan tepat mengenai agama kita, al-Quran, sunnah, sejarah dan warisan agar kita mampu meletakkan kebenaran pada tempatnya.
Mari menjadi umat Islam yang paling produktif dan kreatif, serta berada di barisan paling hadapan. Keringat perlu dikerahkan daripada batang tubuh setiap daaripada kita untuk berjasa kepada Islam. Ayuh, kita terus giat di atas jalan menerusi hujah penulisan dan sebar luaskan maklumat dan hujah-hujah yang mematahkan cubaan merosakkan Islam. Bukan masanya lagi untuk kita terus menerus bersikap pasif.
Harapan saya semoga kita dapat memupuk amalan suka membaca dan bersungguh-sungguh menambah imu pengetahuan. Carilah imu di atas jalan-jalanNya yang banyak, fahami dan bekerja tanpa henti. Orang yang tidak mengamalkan imu yang dimilikinya diumpamakan seperti ‘keldai yang memikul kitab-kitab tebal’ (al-Jumuah: 5) atau ‘anjing yang menjelir-jelir lidahnya’ (al-A’raf : 175 & 176)
Mari menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Semoga tahun-tahun yang bakal mendatang kita penuhi dengan amalan yang meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah, serta dapat menyemai nilai kemanusiaan dalam diri dan lebih bersabar dengan ujian kehidupan yang seterusnya. Akhir kalam, moga kita terus bermuhasabah dan berdoa agar terus berada di jalan yang diredai Allah SWT.
Semakin besar tanggungjawab kita!
Nur Afirah
Akademi Tokoh Beliawanis PEMBINA