14 Februari: Valentine dan Adnan

14 Februari adalah tarikh yang dinantikan buat mereka yang hanyut dalam arus percintaan dan tenggelam tanpa keimanan. Tarikh yang dijadikan sebagai “Hari Kekasih” yang bermula sejarahnya di Barat, tetapi menjadi kegilaan anak muda Malaysia dek nafsu yang bertulang belakangkan syaitan.

Percayalah, masih ada yang menyambut tarikh yang kononnya keramat walaupun tidaklah sebegitu popular seperti di Barat. Tarikh yang sering dinodai saban tahun dengan gejala maksiat, akibat ketiadaan matlamat hidup dan jati diri Muslim yang semakin luntur daripada jiwa pemuda pemudi Malaysia. Maka, tidak hairanlah sekiranya statistik menunjukkan kepada peningkatan kes seperti rogol, zina, pembuangan anak dan lain-lain kes pada setiap tahun.

Ingin ditegaskan di sini, bahawa, Islam yang syumul ini amat mengutamakan nilai kasih sayang dan tidak ada hari tertentu bagi meraikannya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-71 juga telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan hari tersebut juga mempunyai unsur Kristian beserta amalan pada hari tersebut yang bercampur dengan perkara maksiat adalah bercanggah sama sekali dengan Islam.[1]

St. Valentine pendeta Nasrani

St. Valentine pendeta Nasrani

Jika diteliti, sejarah Hari Kekasih ini tiada dalam Islam. Ianya adalah semata-mata perayaan agama Nasrani bagi mengenang tokoh mereka.

Tokoh? Ya. Tokoh mereka, St. Valentine, seorang pendeta Nasrani yang dijatuhi hukuman mati gara-gara menentang pemerintahan maharaja pada ketika itu.

Dalam satu kisah disebut, Maharaja Rom Kalaudis II pada zaman pemerintahannya, telah berpendapat bahawa tentera yang masih bujang lebih bersabar dalam peperangan daripada tentera-tentera yang sudah berkeluarga. Oleh itu, maharaja tersebut telah mengeluarkan larangan berkahwin, tetapi Valentine telah melanggar larangan tersebut dan melakukan upacara perkahwinan di gerejanya secara tersembunyi. Valentine kemudiannya ditangkap dan dipenjarakan. Semasa di dalam penjara, dia telah berkenalan dengan seorang gadis yang merupakan anak kepada salah seorang penjaga penjara yang pada ketika itu sedang mengidap penyakit, tetapi berjaya disembuhkan. Valentine telah jatuh hati pada gadis tersebut, dan sebelum dijatuhi hukuman mati, dia sempat mengutus surat buatnya.[2]

Justeru, apa yang perlu dibanggakan dengan Hari Kekasih ini? Apakah keperluan, buat kita sebagai umat Islam, meraikan kematian seorang pendeta Nasrani? Buat anak muda, ayuhlah kita meneliti tragedi pada 14 Februari. Antara sejarah yang sentiasa dipandang sepi. Sedangkan, tanpa pahlawan gagah berani, mungkin kita masih terjajah lagi.

14 Februari Valentine dan Adnan

14 Februari 1942: Pertempuran terakhir buat seorang wira gagah perkasa.

Leftenan Adnan Saidi adalah satu sosok yang patut dibanggakan dan dikenang oleh masyarakat. Semangat juang serta keberaniannya harus dicontohi anak muda yang merupakan benteng pertahanan sesebuah negara.

Menyertai Rejimen Askar Melayu ketika berusia 18 tahun, dan setahun kemudiannya Leftenan Adnan terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936 pula beliau dinaikkan pangkat sarjan, satu kenaikan pangkat yang pantas buat tentera yang berusia muda.

Pertempuran di Bukit Chandu adalah antara pertempuran sengit yang pernah berlaku dalam sejarah Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua, yang merupakan rentetan kepada pertempuran Pasir Panjang yang berlaku sehari sebelumnya.

Bukit Chandu adalah garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu daripada serangan Jepun pada ketika itu. Dinamakan Bukit Chandu bersempena kilang chandu yang dahulunya terletak di kaki bukit itu. Pertempuran ini telah merakamkan keberanian sosok pahlawan yang bermatian berjuang buat tanah air dengan darah dan nyawa beliau sehingga nafas terakhirnya.

Kematian Leftenan Adnan bukanlah kerana ditembak oleh tentera Jepun, tetapi diseksa tanpa belas kasihan. Beliau diterajang, disepak, digantung pada pokok dan ditikam berkali-kali dengan benet tentera Jepun yang sedang menggila kemarahannya pada ketika itu.

Kisah kepahlawanan generasi terdahulu seharusnya dijadikan pengajaran buat anak muda. Mereka telah berjuang dan berkorban dengan darah dan nyawa demi mempertahankan negara tercinta. Saat ini negara diancam dan diserang bertubi-tubi dari segenap sudut dengan segala jenis pemikiran songsang yang diterbangkan khas dari Barat.

Salah satu contohnya, perayaan Hari Kekasih yang mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran anak muda. Mereka terus leka dan hanyut dibuai cinta, sedangkan mereka tidak mengetahui dan memahami asal usul perayaan tersebut.

Ingatlah, Islam rahmatan lil alamin, maka rahmat Islam dalam membebaskan masyarakat daripada budaya maksiat yang merosakkan keturunan ini, bukan hanya pada orang Islam semata-mata tetapi untuk sekalian manusia.[3]

 

Rujukan:
[1] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-menyambut-perayaan-valentines-day
[2] http://www.infoplease.com/spot/valentinesdayhistory.html
[3] Quoted.

 

Oleh: Helihafisah Binti Ab Rahman
Pelajar Fisioterapi
UniKL Royal College of Medicine Perak
JK Kajian dan Informasi
PEMBINA Ipoh

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top