IPOH, 28 Mei 2011 – “Jika kehidupan ibarat satu hari, maka zaman belia ibarat waktu pagi, ketika matahari putih perkasa, waktu manusia paling aktif”, demikian ulas Aizuddin Khalid, Naib Presiden I PEMBINA dalam ucapan pembukaannya dalam pertemuan JKP dengan AJK PEMBINA Cawangan Negeri Perak. Beliau menambah, “Maka rugilah mereka yang terlajak tidur, dan rugilah mereka yang terlajak makan”, sebagaimana yang berlaku kepada sebahagian ahli masyarakat yang gagal memanfaatkan waktu pagi.
Dalam ucapan tersebut, Aizuddin menceritakan pengamatannya bahawa keaktifan waktu pagi bakal menentukan momentum kerja selepas tengahhari sama ada mengantuk atau terus aktif. Maka belia yang aktif dan menyedari banyaknya tanggungjawab di dunia akan kekal dengan momentum amalnya hingga ke akhir hayatnya, manakala belia yang kosong jiwanya akan keletihan dan mengharapkan kerehatan apabila memasuki umur tua.
Demikian perumpamaan yang disampaikan bagi membangkitkan semangat AJK PEMBINA Perak agar menginsafi tanggungjawab mereka sebagai kepimpinan PEMBINA yang merupakan peluang untuk membangunkan diri dan memegang amanah organisasi.
Turut serta dalam rombongan JKP ke PEMBINA Perak adalah Naib Presiden II, Nor Hasni Hayati Hanapi dan Sekretariat Beliawanis PEMBINA, Roszida Kamaruddin.