Ulu Yam, 25 Julai 2010 – ‘Welcoming Picnic’ anjuran PEMBINA KL telah berjaya dilangsungkan tanpa sebarang masalah mendatang. Berlokasikan Hutan Rimba Sg. Tua, Ulu Yam yang tenang dari kesibukan bandaraya,, rehlah pertemuan singkat telah direncanakan bagi tujuan khas untuk menyambut pelajar baru di International Islamic College(IIC),Universiti Islam Antarabangsa Malaysia( UIAM) Gombak & British Malaysian Institute(BMI).
Seawal jam 0700, peserta telah berkumpul di Tangga Besar UIAM. Kehadiran diambil dan peserta dibawa ke lokasi dengan beberapa buah kenderaan persendirian. Kenderaan pertama bergerak keluar dari pagar UIAM pada jam 0800. Konvoi bergerak keluar dari kesibukan bandaraya melalui kawasan penempatan dan akhirnya tiba di kawasan tasik yang indah mata memandang seterusnya kehijauan alam ciptaan Allah merakumi penglihatan. Kira-kira jam 0840 ketibaan 45 peserta belia disambut tiba dengan bunyi deruan air Sg Tua dan kicauan pagi burung dan unggas penghuni Hutan Rimba Ulu Yam.
Semua peserta dikumpulkan dan membuat regangan badan. Kerjasama antara setiap peserta bagi mendapat kesamaan dalam aktiviti lompat bintang (pt10 ala tentera) menarik perhatian orang awam yang datang berkelah. Aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dikelolai Saudara Syukri dari PEMBINA KL dimulakan dengan pembahagian peserta kepada 4 kumpulan besar. Setiap kumpulan mempunyai 10~11 ahli. Kemudian, peserta berkumpul mengikut kumpulan dan berkenalan(taaruf) sambil menikmati sarapan di dalam kumpulan sebelum taaruf bersama semua peserta piknik beserta gaya setiap peserta dijalankan.
Aktiviti petama – ‘Teriakan Perang’ (War Cry)
Setiap kumpulan diminta bersedia dengan ‘Teriakan Perang’ masing-masing. Bermula peperangan pagi ini dengan gegaran teriakan belia. Bermacam gaya ditunjukkan oleh setiap kumpulan, dari gaya ala tarian ‘hakka’ ke ala ‘steady’. Setiap kumpulan mula melancarkan perang saraf bagi menunjukkan kehebatan kumpulan masing-masing apabila permainan sampingan ‘bang bang bom’ dijalankan..
Aktiviti kedua – ‘Selamatkan Bekalan (telur) Kita’
Seusai melancarkan perang saraf, kini setiap kumpulan bertempur 1 lawan 1 dengan cara gerila yang mana sasaran musuh tidak jelas posisinya. Salah seorang peserta diamanahkan untuk memegang sebiji telur yang akan menjadi punca kemenangan dan kekalahan sesebuah kumpulan. Perbagai strategi digunakan bagi kemenangan kemenangan. Ada yang menggunakan strategi menggunakan orang yang tak disangka terlibat , dan ada yang berpura-pura menjadi sasaran dan bertahan hingga masa tamat.
Aktiviti ketiga – ‘Perang bom air’
Perjuangan setiap kumpulan diakhiri dengan peperangan besar antara 4 kumpulan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan ‘bom’ (beg plastik berisi air). Misi utama adalah kertas A4 yang dijadikan panji bagi setiap kumpulan. Perperangan dimulakan dengan persiapan perang dan pemilihan tempat yang strategik sebagai kubu. 2 kumpulan telah memainkan strategi perang dengan membuat ‘perjanjian Ulu Yam’ untuk tidak menyerang antara kumpulan masing-masing sebelum kumpulan lain tewas. Akhirnya pakatan menjadi 3 penjuru yang mana menentukan 1 kumpulan yang bakal tewas awal. Setelah kumpulan tidak bersekutu dilanyak hebat, panji mereka berjaya dimusnahkan. Seterusnya 3 kumpulan bersekutu bertempur hebat antara mereka, memastikan kemenangan pasukan berpihak pada mereka yang layak; di samping gangguan dari seorang peserta dari kumpulan yang telah tewas yang bergerak secara senyap dan mengakibatkan kepincangan ketiga-tiga kumpulan. Pertempuran berakhir dengan 3 kumpulan yang kekurangan anggota dengan panji yang masih terselamat dan keputusan ditentukan dengan jumlah anggota yang masih hidup.
Selesai bertempur selama 3jam (0900-1200), semua peserta membersihkan kawasan aktiviti dan menjamah hidangan BBQ yang telah disediakan AJK dari PEMBINA KL. Menu – ayam bakar , sosej, di sajikan dengan mayonis, sos black paper, cili dan coslow. Suasana menjadi senyap ketika para peserta bersantap. Maklumlah, semuanya sudah kepenatan bertempur. Ditambah pula dengan terpukau pada keenakan santapan buatan air tangan ukhuwwah. Sedap hingga menjilat jari!
Bagai tidak sempurna piknik tanpa menikmati kesejukan air sungai ciptaan Ilahi, para peserta dan AJK bersama menikmati kesegaran air sungai Ulu Yam. Para peserta tidak kelihatan kekok walaupun baru sahaja berkenalan dengan saudara-saudara lain. Puas melepaskan lelah aktiviti, para peserta naik ke tebing berkumpul bagi mendengar sedikit pengisian rohani sambil berjemur mengeringkan badan.
Pengisian Rohani – ‘ Seimbangkan ibadah’, ‘Potensi belia’
Pengisian dimulakan dengan ucapan Pengarah Program, Saudara Aizat. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua rakan belia yang sudi bersama menghadirkan diri ke rehlah anjuran PEMBINA KL. Beliau juga menyatakan hasrat dan objektif program. Seterusnya beliau menjemput Saudara Bilal yang juga antara peserta yang dirai untuk menyampaikan tazkirah ringkas.
Dimulakan dengan persoalan antara sujud di malam hari, belajar untuk final exam, ataupun bermain bola di padang, yang mana paling penting? Antara isi tazkirah beliau adalah mengenai kepentingan menyeimbangkan aktiviti seharian sebagai seorang belia Islam. Beliau memetik kisah sirah Rasulullah s.a.w dengan seorang ahli gusti kafir yang bernama Rukanah di mana Rasulullah menang ketiga-tiga perlawanan dengannya dan kisah Ibn Abbas, kanak-kanak kecil yang bijak dan matang. Beliau juga menekankan kesyumulan Islam dengan mengaitkan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepagi itu. Antara ayat keramat beliau – ‘ bersama membina genarasi harapan’ dan ‘berlarilah ke seluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan sinar Islam’. Seterusnya pengarah menjemput Saudara Afif Bin Uthman untuk mewakili AJK PEMBINA KL menyampaikan ucapan.
Saudara Afif memulakan kalam dengan tazkirah ringkas mengenai ‘Potensi Belia’. Beliau menekankan kepentingan ‘memulihara'(sesuai dengan persekitaran alam flora dan fauna) potensi belia. Beliau memetik kisah Usamah bin Zaid, panglima tentera Islam yang menjadi panglima saat belia dan Abu Ayyub Al-Ansari, panglima perang yang mempunyai jiwa dan semangat belia walaupun ketika berumur lingkungan 80tahun. Saudara Afif juga memperkenalkan PEMBINA yang berorientasikan pembinaan potensi belia kepada para peserta dan mengumumkan program-program yang dijalankan PEMBINA KL secara berkala dan tahunan antaranya halaqah untuk para peserta berkongsi pendapat dan pandangan. Para peserta dialukan untuk mengisi borang keahlian yang diedarkan seusai program dijalankan.
Selesai sesi pengisian rohani, para peserta berbaris bagi memateri kenangan bersama sepagian di dalam foto dan berangkat pulang ke destinasi masing-masing..
“Telah diriwayatkan daripada Abu HAmzah Anas bin Malik r.a. iaitu khadim Rasulullah s.a.w. daripada Nabi s.a.w. : Maka bersabda ia: Tiada sempurna iman salah seorang daripada kamu hingga kasihd ia kepada saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.”-HR Bukhari dan Muslim
“Berlarilah ke seluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan sinar Islam”