Pada 1 Ogos 2010, Ahad lalu, beliawanis PEMBINA Bangi telah mengadakan kembara ke Jugra, Banting yang merupakan kawasan bersejarah di negeri Selangor. Di Bukit Jugra inilah terletaknya Pejabat Mufti Selangor , Balai Cerap Anak Bulan dan Rumah Api milik TUDM di bahagian puncak bukit tersebut. Selain itu, terdapat monumen bersejarah, Bangunan bekas Pejabat Daerah Lama Jugra yang terletak di lereng Bukit Jugra. Bukit Jugra juga dikenali sebagai tempat utama sukan luncur udara di Malaysia atau lebih dikenali dengan sukan Paragliding.
Kami memulakan kembara Jugra dengan berkumpul dan rehlah bersama-sama di Tasik Kejuruteraan UKM, bermula seawal 8 pagi. Di sini, para beliawanis bersama Wanita ISMA Daerah Hulu Langat bertaaruf secara ringkas dan memanaskan badan dengan aktiviti -aktiviti ice breaking yang diketuai oleh saudari Siti Zubaidah. Kemudian, kami menjamu selera bersama-sama secara ‘potluck’ sebelum memulakan perjalanan ke Bukit Jugra.
Sepanjang perjalanan ke Jugra, peserta berkenalan antara satu sama lain dengan lebih mendalam. Setibanya di bukit Jugra, perjalanan konvoi berkereta dari kaki bukit ke puncak bukit mengambil masa lebih kurang 15 minit dan kehadiran peserta di sambut dengan deru angin yang menenangkan. Terdapat sebuah pelantar di bahagian bawah Rumah Api yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan dari atas bukit. Ternyata kehadiran peserta tidak sia-sia apabila pemandangan lembangan Sungai Langat yang mengalir ke muara dan membentuk Selat Melaka menandakan kebesaran Allah SWT luas terbentang di hadapan mata sehingga membuatkan peserta tidak mampu berkata apa-apa melainkan puji-pujian kepada Maha Pencipta. Setelah puas menikmati pemandangan, kami duduk sebentar di lereng tersebut untuk aktiviti tazkirah berkaitan kekuasaan Allah yang disampaikan oleh saudari Farhana. Sesuailah dengan ayat Al Quran dari Surah Al Imran, ayat 190:
“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan penggantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal.”
Aktiviti diteruskan lagi dengan ucapan ringkas daripada Penolong (II) PEMBINA Bangi, saudari Muzaifah Hanim yang menegaskan bahawa pentingnya kebersamaan dalam menjayakan sesuatu program biarpun berada jauh antara satu sama lain. Setelah itu, Biro Sukan dan Rekreasi beliawanis, saudari Hanum pula mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang hadir dan di atas komitmen yang diberikan. Aktiviti di lereng bukit itu diakhiri dengan Doa Rabithah supaya dengan rahmatNya, hati-hati yang berkumpul pada saat itu di teguhkan dengan cinta Ilahi dalam berjuang menegakkan Islam.
Sebelum pulang pada jam 3.00 petang, peserta mengambil kesempatan untuk bergambar dan merakamkan saat indah berada di Bukit Jugra. Setelah puas bergambar, peserta menaiki kereta berlainan bagi meneruskan lagi sesi ta’aruf di dalam perjalanan sehingga tiba di Bangi pada jam 5.00 petang. Sesungguhnya pengalaman kali pertama beliawanis PEMBINA Bangi di Bukit Jugra ini menjadi memori indah buat semua dan mengeratkan lagi ukhwah sesama insan. Di harapkan supaya aktiviti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.