Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Perlis telah menghantar 14 orang wakil ke program Himpunan Mahasiswa (HIMMAH) 2012 bertempat di Kompleks Rakan Muda Kelang, Selangor yang terdiri daripada 4 orang belia dan 10 orang beliawanis.
Program HIMMAH 2012 tersebut telah berlangsung selama 3 hari bermula pada hari Jumaat, 14 September sehingga hari Ahad, 16 September 2012 dan telah disertai oleh kira-kira 400 orang peserta yang mewakili cawangan PEMBINA dan IPT di seluruh Malaysia.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah disajikan dengan beberapa slot pembentangan kertas kerja yang berkaitan dengan gerakan mahasiswa, ancaman liberalisme serta peranan mahasiswa untuk membangunkan negara.
Para peserta juga telah mengikuti aktiviti yang bersifat kerohanian, aktiviti fizikal serta pengisian ilmu yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta motivasi dalam diri setiap peserta untuk bekerja di medan kampus masing-masing.
Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah seorang tokoh pejuang Palestin, Sheikh Raed Solah yang telah dijemput khas untuk memberi semangat dan inspirasi kepada para peserta yang terdiri daripada golongan belia supaya lebih agresif dalam berdakwah.
Penglibatan wakil dari PEMBINA Perlis dalam program tersebut telah membuka peluang kepada mereka untuk berkenalan dan membina hubungan dengan wakil PEMBINA dari cawangan lain serta berkongsi pandangan, idea dan gerak kerja yang berfokuskan kepada dakwah kampus di IPT.
Himpunan Mahasiswa (HIMMAH) 2012 ini merupakan program anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan ini adalah program pertama yang dianjurkan untuk mengumpulkan seluruh penggerak dan ahli PEMBINA di seluruh Malaysia.
Diharapakan, dengan segala ilmu yang diperolehi dalam HIMMAH kali ini, dapat dimanfaatkan oleh wakil PEMBINA Perlis untuk menggencarkan lagi gerak kerja dakwah di medan IPT di Perlis terutamanya di UniMAP, UiTM Arau dan IPG Kampus Perlis.
Sumber: Laman sesawang PEMBINA Perlis