Wacana Pemikiran Belia Mendapat Sambutan Memberangsangkan

BANGI, 2 Disember 2011– Satu “Wacana Pemikiran Belia” telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Seminar, Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Kebangsaan Malaysia anjuran Persatuan Belia Islam Nasonal (PEMBINA) cawangan Bangi dengan kehadiran lebih 150 orang belia dan beliawanis dari institusi pengajian tinggi sekitar Daerah Hulu Langat.

Wacana yang julung-julung kali diadakan ini memfokuskan tentang kecelaruan identiti yang melanda jiwa para belia pada masa kini. Dengan topik “6 juta lebih belia kecelaruan identiti, apakah penyelesainnya?”, wacana ini telah menampilkan dua ahli panel: Dr. Kamsani Samingan selaku Pengerusi Biro Belia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) daerah Hulu Langat dan Puan Shazamawati Zam Hashari, ahli jawatankuasa ISMA daerah Hulu Langat serta dipengerusikan oleh Saudara Rusman Arief Abdul Rahman, Ketua PEMBINA cawangan Bangi.

Kecelaruan Identiti adalah satu penyakit yang sangat merbahaya yang telah melanda belia di masa kini, di mana kebanyakannya sudah tidak dapat membezakan antara baik dengan yang buruk. Jika kita lihat di dalam surat khabar atau media massa, banyak gejala sosial yang melanda masyarakat belia zaman kini seperti penzinaan, pembuangan bayi, pembunuhan bayi, perkahwinan gay dan penukaran jantina. Perkara ini telah berlaku begitu berleluasa dan sangat membimbangkan banyak pihak kerana banyak kesan buruk yang bakal terjadi kepada belia yang bakal menjadi pemimpin masa akan datang.

Beberapa penyelesaian dicadangkan oleh panelis – panelis jemputan, antaranya:
1. Menitikberatkan didikan agama dengan mencari ilmu-ilmu yang boleh menjadi panduan
2. Memperkukuhkan institusi kekeluargaan dengan memerhatikan tingkah laku anak-anak serta pergaulan mereka
3. Membanteras budaya liberalisme agama

Pendekatan yang perlu dilakukan terhadap generasi ‘Y’(generasi yang lahir dari tahun 1982-2001) juga berbeza berbanding generasi sebelumnya iaitu yang lahir antara tahun 1980 dan ke atas.

Seperti mana yang kita tahu, golongan muda mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Sebagai contoh, mereka lebih suka melakukan apa yang mereka yakini. Selain itu katanya, antara punca-punca bercelarunya identiti para belia kini adalah disebabkan mereka tidak menjadikan al-Quran sebagai pedoman atau panduan dalam hidup. Sebaliknya, mereka menjadikan teknologi seperti internet sebagai panduan hidup. Sedangkan, teknologi merupakan cara orang Barat menyerang pemikiran para belia dan menyebarkan agamanya secara halus dan tanpa disedari. Teknologi yang terlalu canggih juga sangat serasi dengan jiwa-jiwa orang muda. Sebab itulah orang Barat menjadikan teknologi sebagai medium untuk merosakkan pemikiran orang-orang Islam.

Selain itu, masalah keruntuhan institusi keluarga juga merupakan punca kepada bercelarunya identiti para belia. Tambahan pula, filem-filem Barat yang ditayangkan sememangnya mempunyai unsur-unsur negatif.

Mengupas mengenai kesan kecelaruan identiti kepada para beliawanis, Puan Shazamawati menyatakan bahawa antara kecelaruan yang melanda adalah di mana, perempuan dan lelaki yang telah bertunang berdua-duaan walaupun tiada ikatan yang sah. Menurut beliau, beliawanis seharusnya sentiasa mempertingkatkan ilmu agama supaya tidak mudah terikut dengan budaya-budaya Barat yang memberi kesan kepada penerusan kecelaruan identiti.

Wacana ini diakhiri dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Sohwah. Diharapkan semoga wacana seperti ini dapat diadakan lagi di masa akan datang dengan harapan para belia mendapat kesedaran bahawa kecelaruan identiti ini boleh membahayakan diri sendiri dan juga orang lain kerana belialah yang akan menjadi ikon kepada masyarakat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top