Demonstrasi Bukan Tindakan Pelampau, Perlu Pelihara Etika

Gantung pembelajaran atau buang universiti adalah satu tindakan yang keterlaluan. Ia berhubung dengan satu artikel yang bertajuk “Digantung atau dibuang universiti” dalam Utusan Malaysia pada 28-12-2011.

Menganggap demonstrasi sebagai suatu bentuk tindakan pelampau adalah keterlaluan dan tidak berasas. Sebagai bekas mahasiswa, kita harus lebih peka dan cakna dengan keperluan mahasiswa yang mahu suara mereka di dengar. Maka tindakan menyekat mahasiswa untuk menyatakan pandangan akan menimbulkan lebih banyak masalah berbanding penyelesaian yang harus di cari.

Di dalam dunia universiti, ini semua adalah suatu proses pembelajaran kematangan yang membentuk peribadi serta pemikiran yang kritis dan berani dalam menyatakakan pandangan. Kita tidak mahu sekatan-sekatan ini akhirnya melahirkan pemuda-pemudi yang tidak berani dan tidak cakna dengan realiti semasa seterusnya mengabaikan tanggungjawab dan peranan mahasiswa terhadap agama, bangsa dan negara.

Sepanjang sejarah kita telah lihat kemampuan mahasiswa dalam jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa dan agama. Buktinya, lihatlah pada peristiwa di mana mahasiswa di Indonesia yang keluar beramai-ramai berdemonstrasi yang akhirnya Presiden Suharto terpaksa berundur. Begitu juga beberapa peristiwa gerakan mahasiswa di negara kita suatu ketika dahulu sehingga terhasilnya AUKU kesan dari peristiwa tersebut. Tetapi bukanlah maksud demonstrasi sebegini yang perlu kita teladani yang mana telah mengorbankan banyak mahasiswa dalam berbagai aspek.

Demonstrasi tidak bermakna mahasiswa bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka inginkan. Pada hemat saya, demonstrasi adalah jalan terakhir setelah berbagai saluran lain digunakan sebaiknya. Pepatah Inggeris ada meneybut “We are here not to confront but to coax, confrontation is only our last resort”.   Malah demonstrasi pula perlu dilaksanakan selaras dengan akhlak dan adab Islam serta nilai-nilai ketimuran.

Antara adab dan akhlak yang perlu di jaga ialah tidak menyakiti orang awam, tidak merosakkan harta benda awam, tidak memaki hamun, dan tidak menjatuhkan maruah orang lain. Demonstrasi boleh berjalan dengan aman dan baik kerana ia adalah satu saluran untuk menyatkan padangan sesebuah kumpulan terhadap sesuatu perkara. Kebebasan untuk mahasiswa menyatakan suara mereka, hak mereka, perlu di beri ruang yang luas namun dipandu oleh batas-batas adab dan akhlak yang baik. Kita mahu mahasiswa kita kembali berfungsi sebagai “Ejen Perubahan Masyarakat” seperti mana suatu ketika dahulu kuatnya bergema slogan “Student Power!”.

Jadi kesimpulannya di sini, saya sama sekali tidak bersetuju dengan padangan mengaitkan demonstrasi sebagai satu tindakan pelampau dan mengenakan tidakan yang tidak mencerminkan kematangan tindakan. Namun demonstrasi pula perlu dilaksanakan dengan batas-batas adab dan akhlak yang dipandu oleh syariat. Demonstrasi bukanlah pilihan pertama, kedua atau ketiga tetapi yang terakhir setelah semua saluran lain digunakan sebaiknya.

 

Nurul Aizam Zaini

Ketua Cawangan

PEMBINA Melaka

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top