Usaha perbaharui Islam tiada asas: Zara Huda

zara

KUANTAN, 5 Mei – Islam tidak perlu diperbaiki, tetapi asasnya yang perlu dihidupkan semula.

Sehubungan itu, tokoh debat antarabangsa The Muslim Debate Initiative (MDI), Zara Huda Faris, berkata usaha usaha untuk mengubah atau memperbaharui Islam adalah sesuatu yang tiada asasnya.

Katanya, golongan pembaharuan mengatakan Islam yang ada kini telah lapuk, dan mereka telah memperjuangkan demokrasi yang telah wujud lebih awal daripada Islam.

Sambil menegaskan bahawa Islam tidak menolak kemajuan, beliau berkata, Islam juga meraikan fitrah yang tidak akan merubah sifat manusia.

“Manusia akan mempunyai fitrah untuk kekal hidup dan juga fitrah untuk mempunyai keturunan,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk, ‘The Revival of Islam and the muslim intellect’ yang dihadiri kira-kira 200 peserta di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) cawangan Kuantan, hari ini.

Zara Huda berkata, walaupun ada penurunan dari segi keberkesanan pengamalan Islam, ianya tidak perlu membawa kepada Islam dalam definisi yang baharu.

“Sebaliknya yang harus disalahkan ialah umat Islam itu sendiri dan bukannya agama,” katanya.

Beliau juga berkata, Islam menyokong kemajuan sains, tetapi sains bukanlah digunakan untuk tujuan kepercayaan, sebaliknya hanya untuk menghilangkan persoalan dan juga untuk menyelesaikan masalah harian.

Mengambil contoh dalam al-Quran, bagaimana Allah SWT menimbulkan persoalan mengenai bagaimana hujan berlaku, sains digunakan untuk menjawab persoalan itu. Maka tidak timbul isu Islam menolak kemajuan dan juga sains.

Katanya, intelektual pada masa kini sangat diperlukan begitu juga dengan spiritual.

“Ramai orang hanya mementingkan spiritual, tetapi iman akan naik dan turun,” katanya.

Intelektual pula katanya, akan menjadikan iman bertambah kalau tidak pun melambatkan proses penurunan prestasi iman.

Oleh itu, beliau berpendapat intelektual adalah penting untuk umat Islam.

Mengambil pengajaran daripada kehebatan peradaban dan intelektual Islam pada kurun ke-16, beliau menjelaskan perkara yang terburuk dihadapi oleh umat Islam adalah kejayaan dan kestabilan yang dikecapi sendiri.

Katanya, ada beberapa sebab yang menjadi punca kejatuhan peradaban Islam.

“Antaranya ialah sikap mudah berpuas hati dan malas untuk memajukan diri. Kelemahan dalam bahasa Arab juga menjadikan umat Islam lemah dalam membuat pertimbangan hukum kerana lemah dalam menguasai ilmu al-Quran dan hadis secara mendalam,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa kejayaan umat Islam harus dilakukan secara kolektif dan holistik.

“Umat Islam harus bekerjasama dalam segala lapangan untuk mencapai objektif kegemilangan. Perselisihan pendapat harus berada dalam lingkungan syarak dan tidak mengganggu tujuan dan matlamat agama ini,” katanya.

Zara Huda adalah dalam rangka lawatan dan ceramah bersiri anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan juga Persatuan Belia Islam Malaysia (PEMBINA) dan The Muslim Debate Initiative Blog (MDI).

Beliau akan menyertai persidangan International Muslimah Empowerment Conference (IMEC2015), Sabtu ini dan akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Feminism: Heroin(e) of the Masses’.

sumber : ISMAweb

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top