Latar Belakang Peradaban Barat (Tamadun Yunani Klasik)

panthenon

Tamadun Yunani Klasik merupakan tamadun pertama yang bergelar Tamadun Sekular. Ia merupakan sebuah tamadun terawal yang memisahkan institusi kemasyarakatan, budaya, seni dan sains daripada agama. Falsafah tamadun Yunani Klasik berpasak kepada premis-premis bahawa sesebuah masyarakat yang sempurna dapat dibina dengan kebijaksanaan akal rasional semata-mata. Penggunaan akal rasional ini perlulah dibebaskan daripada sebarang campuran unsur-unsur yang dianggap supernatural seperti agama.

Merujuk kepada falsafah Yunani Klasik, keindahan yang tertinggi dan paling sempurna ialah tubuh badan manusia itu sendiri. Bagi mereka, fizikal manusia yang tidak dilitupi seurat benang merupakan  sumber kesenian yang tiada taranya. Kerana itu, pengukir dan pelukis sewaktu zaman Yunani Klasik menjadikan tubuh badan manusia sebagai tema kesenian dalam  menghasilkan karya-karya mereka. Karya-karya ini dihasilkan dalam jumlah yang begitu banyak sekali. Kita dapat menamsil bahawa Tamadun Yunani Klasik merupakan sebuah tamadun yang lebih mementingkan aspek-aspek lahiriah berbanding aspek-aspek batiniah.

Dalam usaha untuk mempromosikan pembentukan fizikal manusia ke tahap yang paling tinggi, sukan dan  permainan menjadi unsur utama dalam Tamadun Yunani Klasik. Setiap kota dan bandar akan dilengkapi dengan gimnasium-gimnasium yang dibuka untuk orang awam bagi menjalani latihan untuk menjadi atlet. Pertandingan di antara atlet akan dijalankan dengan kerap, bertempat di stadium-stadium yang sangat besar. Setiap stadium berupaya untuk menampung ribuan penonton pada satu-satu masa. Di zaman Tamadun Yunani Klasik atlet-atlet yang bertanding akan beraksi dalam keadaan bertelanjang bulat. Pertandingan yang paling utama di zaman Yunani Klasik masih diteruskan sehingga ke hari ini iaitu Sukan Olimpik.

Sebenarnya, sebelum Tamadun Yunani Klasik ini mengalami proses pensekularan ia merupakan sebuah tamadun yang menganut agama animisme dan paganisme yakni alam ini penuh dengan unsur-unsur mistik seperti jiwa dan dewa. Dewa-dewa yang dipercayai oleh Tamadun Yunani Klasik memiliki sifat-sifat manusiawi seperti berkahwin, beranak-pinak, makan, minum, berperang namun tinggal jauh daripada manusia yakni di syurga.  Dewa-dewa di dalam Tamadun Yunani Klasik dapat diberi contoh seperti yang berikut:

Zeus, Tuhan Bapa; Ares, Anak kepada Zeus. Tuhan Peperangan; Athena, Anak kepada Zeus. Tuhan Peperangan; Poseidon, Tuhan Laut. Penjaga kepada air; Hades, Tuhan kekayaan. Pemilik logam mineral di dunia; Aphrodite, Tuhan kesuburan, kecantikan dan kekayaan.

            Namun, kira-kira 600 tahun sebelum masihi telah lahir ahli-ahli falsafah yang mula memisahkan alam tabi’i daripada unsur-unsur kejiwaan dan pendewaan. Mereka tidak bersetuju dengan falsafah ketuhanan dan penciptaan. Mereka menganggap bahawa adalah mustahil untuk mengatakan bahawa alam semesta ini diciptakan oleh dewa-dewa yang memiliki sifat-sifat dan tingkah laku seperti manusia. Ahli-ahli falsafah ini tidak dapat menerima bahawa alam semesta diciptakan oleh dewa-dewa yang rakus, pendusta, pemabuk dan sebagainya.

Di dalam filem Immortals, ada diceritakan tentang pertempuran di antara Titans dan Zeus di syurga yang membawa kepada kekalahan Titans. Titans telah dikurung di dunia akibat kekalahan ini. Namun, sampai ke satu ketika Titans telah dibebaskan oleh sekumpulan manusia yang berniat jahat. Peperangan Zeus dan keluarganya menentang Titans berulang kembali. Sebagai seorang manusia yang waras, kita sendiri tidak dapat menerima apabila Tuhan bergaduh sesama sendiri kerana sifat tidak puas hati mereka. Begitu juga apabila Tuhan dikisahkan mati apabila dibunuh Titans. Hal-hal yang menyamakan Tuhan dengan sifat-sifat manusia telah membawa kepada aliran falsafah yang menidakkan unsur-unsur ketuhanan Tamadun Yunani Klasik.

Ahli-ahli falsafah yang menidakkan unsur-unsur kejiwaan dan pendewaan terdiri daripada beberapa individu. Mereka percaya bahawa alam ini terbentuk daripada pertukaran satu bentuk unsur kepada satu bentuk yang lain. Unsur-unsur ini bertukar secara semula jadi tanpa melibatkan peranan dewa-dewa dalam penciptaan. Thales berpendapat bahawa setiap sesuatu itu terjadi kerana unsur air yang berubah-ubah. Air dianggap syarat buat kehidupan. Bagaimanapun, lain pula pendapat Anaximenes. Anaximenes menganggap bahawa unsur udara merupakan asas kepada bentuk-bentuk yang lain. Anaximenes mengatakan udara menjadi syarat kepada penciptaan api dan air. Phytagoras pula iaitu seorang ahli falsafah dan ahli matematik pula mengatakan bahawa angka merupakan asal kepada alam ini.

Walaupun terdapat ahli-ahli falsafah yang menolak faham pendewaan dan ketuhanan secara terus, terdapat juga ahli-ahli falsafah yang percaya akan wujudnya Tuhan yang satu. Mereka mempercayai bahawa Tuhan itu wujud namun bukan berbentuk dewa-dewa seperti yang dianuti oleh Tamadun Yunani Klasik. Aristotle menganggap bahawa Tuhan itu wujud namun hanyalah sebagai prime mover atau penggerak pertama alam semesta. Tuhan menciptakan dunia namun tidak mempedulikan dunia selepas itu. Tuhan dianggap tinggal di tempat lain dan membiarkan manusia di dunia.

Pengaruh falsafah ketuhanan Aristotle dalam Tamadun Yunani Klasik begitu meluas sekali. Falsafah Tuhan sebagai prime mover ini menjadikan kehidupan manusia terpisah daripada segala unsur-unsur spiritual dan keagamaan. Budaya Tamadun Yunani Klasik dan nilai-nilai didasarkan kepada akal fikiran semata-mata. Tidak ada kesepaduan antara agama dan akal dalam sistem-sistem kehidupan manusia. Hal ini menzahirkan keadaan Tamadun Yunani Klasik yang disekularkan oleh evolusi falsafah pemikiran mereka.

Huraian tentang ciri-ciri Tamadun Yunani Klasik merupakan satu perkara yang paling penting jika kita ingin memahami peradaban Barat. Kebudayaan Tamadun Yunani Klasik diambil oleh Tamadun Romawi telah membentuk kebudayaan Graeco-Roman. Agama Kristian yang berpindah pusat dari Palestin ke Byzantine pula telah membawa Tradisi Judais ke dalam Tamadun Romawi. Percampuran ini melahirkan satu wajah Kristian baharu iaitu Kristian Barat; Graeco-Roman (Hellenik) + Tradisi Judais (Hebrew) = Kristian Barat

Bersambung…

 

Rujukan:

Islam and Modernism, Maryam Jameelah

Islam and Secularism, al-Attas

Qishah al-Iman bayn al-Falsafah wa al-‘Ilm wa al Qur’an, Shaykh Nadim al-Jisr

Sekularisasi: Ancamannya Terhadap Alam Tabi’i, Politik dan Nilai, Sani Badron

Luqman Hadi Mazlan

Biro Kajian PEMBINA

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top