Untuk bacaan lelaki Muslim, merdeka, baligh dan berakal.
Ubat dan supplement yang dipreskripsi oleh doktor kepada kita tatkala kita memerlukan perlu mengikut sukatan yang betul. Terlalu sedikit tidak akan mendatangkan kesan. Terlalu banyak akan memudaratkan. Maka dos yang benar-benar tepat itu yang perlu diberikan.
Hati manusia terkadang tinggi dan kuat, juga terkadang ia lemah dan rendah. Lalu Allah, Yang Maha Menyembuhkan, memberikan beberapa preskripsi ubat atau supplement dengan dos yang sesuai untuk menangani masalah ini. Ibadah haji Allah wajibkan buat mereka yang berkemampuan dan tempoh kesannya adalah seumur hidup. Ramadhan Allah jadikan ubat untuk merawat dan memberi ketahanan jiwa buat seluruh umat Islam dan tempoh kesannya kira-kira 11 bulan sebelum dos yang berikutnya. Allah memerintahkan agar umat manusia yang memenuhi syarat menunaikan solat fardhu(wajib) 5 kali sehari semalam untuk bekalan menjalani kehidupan harian.
Ada sejenis ubat lagi yang Allah preskripsikan khas untuk kaum Adam. Allah meletakkan di atas pundak lelaki beberapa tanggungjawab yang tidak diberikan kepada yang lain. Lelaki Allah jadikan ketua untuk kaum wanita dan kerana itu ada tarbiyah tambahan yang diperlukan. Itulah solat Jumaat.
Tempoh kekerapannya adalah 1 minggu. Solat Zohor yang dilakukan pada 6 hari yang lain pada hari itu digantikan dengan solat Jumaat. Daripada 4 rakaat dikurangkan menjadi 2 dengan tambahan satu amalan lain yang punya kesan yang sangat signifikan (sekiranya dilakukan dengan betul) yakni khutbah Jumaat.
Ini adalah masa yang sangat kritikal. Solat Jumaat menghimpunkan para sarjana dan ilmuan, para pemuka dan pimpinan masyarakat, ketua-ketua komuniti, pengarah-pengarah besar syarikat, tauke-tauke kilang dan balak, pemaju hartanah dan perumahan, golongan usahawan berjaya, pengamal undang-undang; hakim dan peguam, pelaksana undang-undang; polis dan tentera, penggiat seni, atlet-atlet, ketua keluarga, para pelajar dan anak-anak remaja serta apa juga posisi yang ada dan disandang oleh lelaki. Deen memperuntukkan waktu istimewa ini bagi mimbar menyampaikan buah fikir, teguran, nasihat kepada semua kaum adam yang hadir supaya membuahkan penambahbaikan dalam kehidupan mereka dan masyarakat secara tidak langsung.
Maka tidakkah perhimpunan ini menjadi sia-sia jika khutbah yang disampaikan tidak memberi kesan melainkan sedikit? Tidakkah ia menjadi suatu ritual sahaja jika yang datang kerana terpaksa (wajib)? Atau lebih malang periode khutbah terisi dengan tidur tengah hari yang mengasyikkan?
Saya begitu ingin sekali menghadiri khutbah Jumaat yang bersemangat dan semangat khatib itu tumpah kepada para jemaah yang hadir. Saya begitu kagum membaca kisah seorang ulama’ terkemuka di Mesir satu masa dahulu; Syeikh Abdul Hamid Kisyk.
Beliau diuji Allah dengan keadaan matanya yang buta. Namun begitu, beliau merupakan seorang agamawan dan pemidato yang sangat hebat. Khutbah Jumaatnya seringkali meninggalkan bekas yang sangat mendalam di hati para jemaah hinggakan pada suatu masa, para jemaah mula datang ke masjid tempat beliau menyampaikan khutbah seawal jam 8.00 pagi untuk memastikan tempat bagi mendengar khutbahnya! Masha-Allah.
Hingga ke hari ini, kedai-kedai di sekitar Masjidil Haram masih menjual rakaman penyampaian beliau dalam pelbagai format. Baik kaset mahupun CD.
Nah, tidakkah hal yang begini memberikan impak yang sangat signifikan kepada kaum lelaki? Khutbah yang disampaikan dengan berkesan dan dihayati akan juga memberikan kesan kepada hati para jemaah yang mendengarnya. Isu khutbah yang releven dengan situasi dan masalah setempat akan lebih memberi manfaat kerana langsung jemaah boleh bertindak dengan saranan dan cadangan yang disampaikan daripada mimbar Jumaat.
Hal ini tidak hanya berlaku di Malaysia, malah di lain-lain bumi Allah.
Nazmie Abdul Razak @ http://lensahati.wordpress.com/