Tujuh nilai beliawanis diperkenal bagi membawa wanita kembali kepada fitrah

CYBERJAYA, 29 Nov – Belia wanita Islam pada hari ini perlu kembali kepada fitrah semulajadi kerana cabaran pada hari ini telah banyak menghakis nilai dan jati diri para wanita.

“Sekretariat Beliawanis kini tampil dengan 7 nilai beliawanis untuk diamalkan belia wanita Islam iaitu kemahiran kewanitaan, budaya ilmu,  pelihara maruah diri, sihat cantik, kepimpinan teladan, teguh rohani dan prihatin ummah”, ujar Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Saudari Roszida Kamaruddin di Festival Beliawanis Nasional (FBN) semalam.

Tujuh nilai beliawanis ini merupakan antara inisiatif yang dapat menghindarkan ancaman-ancaman dalaman seperti pemikiran feminisme dan liberalism yang dilihat semakin menghakis nilai belia wanita Islam selari dengan cabaran globalisasi yang semakin mencabar.

“Pada hari ini, belia wanita Islam perlu bangkit berhadapan dengan realiti semakin merunsingkan, yang dilihat akan menghalang kemunculan generasi ummah bakal memimpin dunia.

Disamping itu juga mereka hendaklah sentiasa  berpegang teguh dengan prinsip dan tuntutan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang merupakan sumber tertinggi dalam Islam.”

Demikian ucapan Ketua Saudari Roszida Kamaruddin semasa merasmikan FBN yang bertemakan ‘Mewarnai Kehidupan Berlandas Fitrah’ di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

“PEMBINA memandang serius permasalahan jati diri belia wanita Islam dan mengambil langkah memartabatkan semula belia wanita Islam dengan menubuhkan Sekretariat Beliawanis dengan mengangkat slogan ‘Santun, Intelek, Beragenda’.

Beliawanis PEMBINA turut memperkenalkan Akademi Tokoh Beliawanis Wanita pada tahun lepas yang  bertujuan melatih dan meledakkan potensi ketokohan dan kepimpinan yang ada pada belia wanita Islam.

FBN dan program yang seumpamanya mempu menjadi medan terbaik untuk memartabatkan kemuliaan para gadis untuk teguh menjadi muslimah yang tetap berada atas landasan fitrah.

Mengakhiri ucapan, Saudari Roszida mengingatkan agar belia wanita Islam menitikberatkan soal kesihatan, pemakanan dan mengamalkan senaman yang baik serta menghargai nikmat tubuh badan dan rupa paras yang telah dikurniakan Allah.

Nurul Ashira Azman

Wartawan Festival Beliawanis Nasional (FBN) 2015

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top