CYBERJAYA, 29 Nov – Perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat mutakhir ini memberi cabaran yang besar kepada pelajar IPT mahupun golongan profesional. Pendapatan RM3000 sebulan bagi sesebuah isi rumah pada hari ini boleh dikategorikan sebagai miskin Bandar.
Demikian menurut pengasas syarikat telekomunikasi UMORIE Malaysia, Puan Syazwin Hassan dalam kupasan isu ‘Cabaran Kewangan, Makan gaji atau Bisnes?’ di Festival Beliawanis Nasional (FBN), di sini semalam.
Beliau yang merupakan graduan Universiti Malaya menambah, mahasiswi perlu mengambil peluang untuk menjana pendapatan lebih ketika belajar dan bijak berbelanja mengikut keperluan.
“Perniagaan perlu dilakukan mengikut kemampuan diri, dimana pelajar yang tidak mempunyai sebarang modal boleh memulakan perniagaan secara sampingan dengan menjadi agen produk sedia ada.
“Pelajar juga perlu belajar untuk berbelanja mengikut keperluan berbanding kemahuan disamping berkawan dengan rakan yang pandai berbelanja mengikut keutamaan,” katanya.
Beliau yang pernah menjana pendapatan sebanyak RM3000 sebagai seorang tutor ketika bergelar mahasiswi menjelaskan bahawa kehidupan sebagai seorang pelajar menuntut perbelanjaan yang besar dan pelajar perlu mencari inisiatif membuat perniagaan sampingan mahupun bekerja separuh masa untuk menampung keperluan hidup.
Mengakhiri ucapan, pemenang Anugerah Best Top 10 Business Plan Challenge itu memberitahu belia wanita Islam yang baru menceburkan bidang dalam perniagaan perlu belajar daripada mentor kerana tiga tahun pertama dalam perniagaan merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi disamping menjadi penentu kegagalan mahupun kejayaan perniagaan.
Nurul Ashira Azman
Wartawan Festival Beliawanis Nasional (FBN) 2015