
MAHASISWA AKTIF – FAKTOR CEMERLANG
Kelesuan mahasiswa adalah satu ‘penyakit’ yang membimbangkan. Hal ini kerana mahasiswa merupakan pewaris kepada kepimpinan negara pada masa akan datang. Sekiranya ‘penyakit’ ini berterusan,negara akan mengalami kepincangan dalam menggerakkan pembangunan dan meningkatkan ekonomi negara. Maka, amatlah penting bagi setiap mahasiswa bangkit melawan ‘simptom-simptom’ awal petanda penyakit ini.
Mahasiswa perlu mengambil kesempatan untuk membina jati diri dan membentuk prinsip hidup melalui penglibatan diri dalam aktiviti-aktiviti yang bermanfaat seperti Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). PEMBINA merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan sejak 2006 untuk menggalakkan mahasiswa bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti yang memupuk sikap kepimpinan, kerjasama dan toleransi.
Sebagai salah seorang aktivis PEMBINA, saya menganggap PEMBINA menyediakan ruang yang cukup luas untuk mahasiswa memaksimakan keupayaan diri sebenar dalam berorganisasi. Tambahan pula, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan turut berpandukan syariah islam dan jarang sekali perkara ini dapat dilihat dalam aktiviti-aktiviti anjuran persatuan belia yang lain.
Selain itu juga, PEMBINA memberikan cabaran kepada mahasiswa untuk berfikir dengan lebih kreatif dan kritis apabila mereka diberi tugasan untuk memikul tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa dalam program-program tertentu. Sebagai contoh, saya telah di lantik sebagai Pengarah Program Fit & Fabulous Carnival pada tahun 2010. Amanah sebagai pengarah melatih saya untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi yang dipelajari di dalam kuliah, menjadi berani berhadapan dengan risiko, dan menyelesaikan masalah atau cabaran dengan lebih berkesan dan praktikal.
Kesibukkan dalam PEMBINA, tidak langsung menghalang saya untuk bergiat aktif sama dalam Kelab Rakan Siswa di Universiti Putra Malaysia. KRS juga merupakan salah satu kelab yang aktif dan mendapat kerjasama erat daripada Seksyen Kaunseling Pelajar UPM. Penglibatan saya bersama KRS bermula sejak tahun 2008 sehingga usai tamat pengajian pada tahun 2011. Saya juga pernah diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Bendahari bagi sesi 2009/2010.
Pelbagai program sering dianjurkan setiap minggu dan memberi fokus terhadap pembangunan mahasiswa di UPM dari segala aspek seperti psikososial, kerjaya dan akademik. Antaranya ialah Bengkel Jom Bersahabat, Basic Training of Facilitators, Kursus Kemahiran Asas Kaunseling dan lain-lain.
Antara yang lain, saya telah dipilih untuk mewakili Universiti Putra Malaysia ke Seminar Kebangsaan Pembimbing Rakan Siswa IPTA Malaysia 2010 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seminar anjuran Majlis Kaunseling Universiti Malaysia (MAKUMA) merupakan seminar tahunan yang membincangkan hala tuju Pembimbing Rakan Siwa di universiti dalam membantu mahasiswa-mahasiswa lain untuk berjaya menempuh kehidupan di universiti.
Kehidupan yang sibuk dengan aktiviti-aktiviti sebegini tidak langsung menghalang saya untuk berjaya dalam lapangan akademik, kerana bagi saya, Pada oktober yang lalu, saya telah dianugerahi Bacelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dengan kepujian kelas pertama pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke 35.
Saya bersyukur kerana matlamat saya telah tercapai dan impian saya untuk menggembirakan ibu bapa saya telah dimakbulkan oleh Allah Yang Maha Besar. Saya juga berjaya membuktikan bahawa aktivisme bukanlah penghalang kepada mahasiswa seperti saya untuk mencapai kejayaan di menara gading.
SARIFAH NURHANUM BTE SYED SAHURI