Assalamualaikum pembuka kata
Aku melangkah ke teratak Merdeka
Teratak indah warisan pusaka
Tersergam gagah di bumi Nusantara
Masyhur seantero dunia
Kini tiba detik 55 ulangtahun usia
Anjung teratak terukir kata hikmat Islam agama
Negara menjadi muafakat
Genggamlah wasiat ini dengan penuh erat
Kerna ada musuh sentiasa menyekat
Kumpulkan anak negeri supaya sepakat
Julanglah syahadah agar terus berdaulat
Teratak ini masih harum dengan darah pejuang
Mempertahankan maruah bukan kepalang
Menentang musuh, menepis petualang
Demi Islam yang kita julang Bertemu syahid di medan perang
Pengorbanan mereka tak usah dibuang
Wahai bangsa Melayu pewaris teratak sejati
Tundukkan nafsu, jiwa dan anggotamu kepada Illahi
Sempurnakan teratak ini dengan amal islami
Kukuhkan tiang seri dengan syariat hakiki
Binalah ia bermula pada dirimu sendiri
Agar Teratak Merdeka ini mengenal erti Mengagungkan Maha Pencipta Rabbul I’zzati
Oleh:
Muhammad Uzair Izzat Amir Bin Muhammad
JK Politik Kampus PEMBINA Persatuan Belia Islam Nasional