TEMUI AJAL KERANA SEORANG KEKASIH?

Malaysia digemparkan dengan berita seorang pelajar perempuan, Nur Alya Damia Hairi yang berusia 19 tahun meninggal dunia disyaki dibunuh bertempat di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini. Lebih memilukan bekas teman lelaki gadis ini menjadi suspek kes dan direman untuk membantu siasatan.

Saling tidak tumpah dengan kes yang pernah berlaku 8 tahun lalu pada 2010 yang pada waktu itu saya berada di tingkatan empat, di mana pelajar perempuan satu sekolah dengan saya juga meninggal dunia dalam keadaannya lebih dahsyat apabila didapati dicabul dan dibunuh, malah mereka iaitu, mangsa dan suspek masih awal usia belasan tahun spesifiknya 14 – 16 tahun. Kes juga memiliki ciri-ciri yang serupa bahawa suspek merupakan teman lelaki si gadis berkenaan.

Manakan tidak terkejut dengan kedua-dua berita ini. Yang pertama, mangsa yang bernama Nur Alya Damia meninggal dunia dalam kehangatan umat Islam menjalankan ibadah pada bulan Ramadhan yang mulia. Kedua, rakan sekolah saya yang meninggal dunia merupakan seorang junior dan kami sempat beraktiviti dalam satu badan persatuan di sekolah. Pengalaman dan masa yang kami luangkan ketika itu merasakan beliau ahli yang berpotensi sewaktu berpersatuan. Namun, Allah lebih menyayangi beliau dan menjadi asbab untuk kami bermuhasabah semasa masih bersekolah.

Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk membuka aib mana – mana pihak. Tetapi untuk mengajak semua orang terutama para gadis, belia wanita Islam (beliawanis) dan ibu bapa mengambil pengajaran di atas tragedi yang berlaku ini.

Wanita Allah ciptakan dengan banyak keindahan. Sedarlah wanita ialah perhiasan dunia, dan seindah hiasan adalah wanita solehah. Duhai wanita, marilah sama – sama kita pelihara maruah diri. Alangkah manis jika kita berteman dengan sahabat baik yang sentiasa mengingatkan kita dengan Yang Maha Pencipta. Bukankah kita mengimpikan pengakhiran yang baik (husnul khatimah) untuk bertemu denganNya? Maka, marilah sama – sama kita amalkan doa “Allhummakhtim lanaa bihusnil khotimah walaa takhtim ‘alainaa bisuuil khotimah” maksudnya “Ya Allah akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik dan janganlah engkau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk”. Runtun jiwa ini tatkala berita yang dikhabarkan sebab kematiannya oleh seseorang yang bernama teman lelaki.

Oleh itu duhai wanita, carilah sahabat – sahabat dan teman – teman juga yang bernama wanita untuk dirimu melalui detik – detik indah tanpa halangan bersama. Kita perlu sedar yang kita perlu jauhi hubungan dengan si bukan mahram, seorang lelaki ajnabi sehinggalah apabila telah tiba saat sah akad kau dinikahkan.

Buat ibu bapa, mohon agar mengikut rapat perkembangan si anak gadis tentang apa yang sedang dilakukan dan di mana dia berada. Islam secara khusus menjelaskan tentang keutamaan anak perempuan dan ganjaran bagi ibu bapa yang memelihara dan mendidik anak-anak perempuan mereka. Hadis Nabi diriwayatkan oleh Muslim menyebut, “Barangsiapa yang memelihara dua anak perempuan hingga dewasa maka ia akan datang pada hari kiamat bersamaku”. Benar, sukarnya menjaga anak perempuan terutama dalam memelihara maruah dan auratnya. Namun sedarlah istimewanya kaum hawa ini adalah beliau berada dalam peliharaan seorang lelaki yang bergelar bapa dan apabila telah berumah tangga juga dipelihara tetapi gelarannya sudah bertukar kepada seorang suami, bukan yang namanya teman lelaki. Peliharaan kaum hawa itu juga berterusan kepada seorang bapa sungguhpun beliau diceraikan, akan kembali ke pangkuan keluarganya. Oleh itu, berbahagialah ibu bapa dalam mendidik dan memelihara anak perempuan. Titipkanlah doa untuknya apabila telah berusaha.

Dalam kes ini tiada lagi “berpantang maut sebelum ajal” kerana kedua-duanya telah dijemput Ilahi. Kepada yang masih hidup teruslah beramal menjalani syariatNya dengan kaki yang berpijak di bumi dan bahu yang menggalas tanggungjawab duniawi dan ukhrawi. Di bulan ramadhan yang mulia ini dekatkanlah dirimu wahai wanita kepada sang pencipta bukanlah kepada si dia kerana akhirnya keampunan dari-Nya yang ingin dikecapi di akhir ramadhan ini. Janganlah kerana kekasih hati kekasih ramadhan tidak dapat dinikmati. Pesanan daripada seorang kaum hawa kepada kaum hawa yang dikasihi di luar sana.

Al-Fatihah buat almarhumah Nur Alya Damia Hairi.
Semoga beliau ditempatkan ke dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh

 

Saudarimu,

Nazatul Shima Masri
Jawatankuasa Pengurusan Organisasi

PEMBINA Cawangan Gombak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top