Selesai sahaja urusan pengebumian Asmaa’, Zinnirah membawa dirinya ke taman rekreasi. Dia sengaja memilih bangku kayu yang pernah diduduk bersama arwah Asmaa’.
Dia menarik nafas panjang sebelum membuka bungkusan hadiah pemberian Asmaa’.
Sebuah buku sketch bersaiz separuh A4. Zinnirah membuka helaian pertama ada tulisan Asmaa’ disitu.
Assalamualaikum,
Namaku Asmaa’ Aulia binti Abdullah. Takdir Allah, aku dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hanya ibuku yang berkerja untuk menyara kehidupan keluarga. Ayah aku? Ayah aku seoarang penangih dadah. Abang aku pula? Sama sahaja, menjadi hamba kepada najis dadah.
Suatu hari, ketika waktu berbuka, ayah aku pulang dalam keadaan separa sedar. Ayah merentap kasar kalung pada leher ibu. Ibu terjatuh dan darah keluar dengan banyak sekali. Ibu keguguran dan meninggal sebelum sempat dibawa ke hospital.
Aku rasa kosong, aku rasa Allah sangat tidak adil pada aku. Aku miskin. Kasih ayah tiada untuk aku tagih, sayang abang juga tiada untuk aku raih, dan Allah ambil ibu aku, satu-satunya insan untuk aku menumpang kasih. Tak lama selepas itu, ayah dan abang aku juga meninggal sebab najis dadah itu. Semuanya dalam tempoh masa yang sangat singkat Irah.
Zinnirah, kau kehilangan ibu ayah kerana kemalangan pada usia kau 18 tahun. Ibu bapa kau kaya, tinggalkan kau banyak harta. Kau masih ada abang untuk menumpang kasih,Aku?
Aku sebatang kara, aku dijaga oleh seorang cikgu, Cikgu Hikmah namanya. Dialah yang membawa aku melihat dunia ini dengan pandangan akhirat. Dia ajar aku untuk jadi seorang Asmaa’ Aulia yang kau lihat pada hari ini.
Irah, dunia ni tiada apa pun untuk kita kejar. Kecemerlangan akademik tanpa keberkatan, tidak ke mana.
Ramadan pernah menjadi titik perubahan untuk aku, semoga Ramadan kali ini menjadi titik perubahan untuk kau juga.
Irah ,
Janji dengan aku, kalau andai aku pergi dulu, terus istiqamah pada jalan ini ya. Maafkan salah silap aku. Terima kasih untuk segalanya.
Aku rindu nak jumpa Allah, izinkan aku pergi dulu sahabat. Assalamualaikum.
Yang ikhlas menyayangimu kerana Allah
Asmaa’ Aulia Binti Abdullah.
Zinnirah menutup buku itu. Dia menyeka air matanya. “In Shaa Allah Asmaa’, izinkan aku pinjam semangat kamu, untuk aku kembali berlari. Ya, kembali berlari buru janji Ilahi, tatap wajahNya di akhirat nanti dan menghuni Syurga Firdausi.”
Tamat.