“Perasaan pedih dan pilu bila mengenangkan pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah atau lebih dikenali Dirang yang baru sahaja berumur 5 tahun. Moga keluarga Dirang tabah dalam menghadapi ujian yang menimpa ini. Kes ini mengingatkan kita semua kepada kes pembunuhan kejam seorang kanak-kanak Nurin Jazlin, pada tahun 2007,” begitulah kata-kata Saudari Hamimah Ibrahim, Naib Presiden 2 Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) apabila diminta mengulas mengenai pembunuhan kejam terhadap Dirang.
Tambah beliau lagi, “Apalah dosa kanak-kanak yang masih belum mengenal erti kehidupan itu sehingga diperlakukan sebegini kejam. Saya mengutuk pembunuhan kejam ini dan sangat berharap pihak polis bertindak pantas dalam menyelesaikan kes ini agar pembunuh tersebut dapat ditangkap dan dijatuhkan hukuman yang setimpalnya.”
Umum mengetahui bahawa Dirang dilaporkan hilang selepas ke kedai runcit di tingkat bawah blok perumahan bersebelahan kediamannya untuk membeli mi segera dan telur dengan membawa wang tunai RM4, dalam kejadian jam 10 pagi 1 Mac lalu. Kehilangannya menimbulkan tanda tanya apabila sebelah seliparnya ditemui dalam kebun sawit berhampiran perumahan itu, manakala satu lagi ditemui 500 meter dari situ dengan telur yang dibelinya pecah dan mee segera bertaburan.
Saudari Hamimah mengakhiri kata-katanya dengan mendoakan semoga keluarga Dirang dikuatkan semangat dan tabah menghadapi ujian yang berat ini.