Tahniah Calon-calon SPM 2010

Tahniah dan selamat diucapkan kepada calon-calon SPM 2010 yang baru sahaja mendapat keputusan masing-masing semalam. Keputusan yang baru diumumkan itu telah mencatat rekod paling cemerlang berbanding tahun-tahun lalu. PEMBINA melihat secara umum daripada pengumuman keputusan SPM ini, bahawa kita tidak ketandusan anak-anak muda yang mempunyai daya intelektual yang tinggi, yang seharusnya dimanfaatkan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Sebagai contoh, seramai 1,249 calon dari Maktab Rendah Sains Mara yang 100% merupakan anak muda Islam berbangsa Melayu telah mendapat A dalam semua subjek.

Bagi calon-calon yang tidak berjaya mendapat keputusan yang dicita-citakan, ia bukanlah penanda kegagalan kerana di hadapan sana masih banyak peluang dalam bidang-bidang lain yang menanti.

PEMBINA menyeru para lepasan SPM agar merancang masa depan dengan serius dan teliti. Letakkan matlamat tentang apakah peranan dan sumbangan yang ingin diberikan kepada masyarakat. Pemilihan bidang pengajian bukanlah perkara suka-suka dan main-main, kerana anda semua merupakan pemimpin negara di masa hadapan. Setiap perkara harus dipertimbangkan dengan baik. Dinasihatkan juga agar mendapatkan pandangan dan nasihat orang-orang yang lebih tua sebelum membuat keputusan. Minat, komitmen dan kesungguhan boleh dijadikan faktor dalam membuat keputusan.

PEMBINA turut menasihatkan lepasan-lepasan SPM agar bersedia dari awal untuk menghadapi alam pengajian di IPT, tidak kira sama ada IPT awam atau swasta, di dalam negara mahupun di luar negara. Gagal bersedia lebih awal mungkin-mungkin menyebabkan kejutan, seterusnya memberi kesan dalam pengajian.

Seperti tahun-tahun lalu, PEMBINA melalui cawangan-cawangannya di seluruh negara akan terus menganjurkan Kem Lepasan SPM (KLS) pada tahun ini. Kem ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, berkongsi pengalaman, memberikan panduan memilih bidang, dan mendidik calon-calon mahasiswa agar mempersiap diri untuk menjadi insan yang cemerlang sahsiah diri dan seimbang dalam semua aspek intelektual, rohani, fizikal dan keazaman. Maklumat lanjut tentang penganjuran KLS ini, boleh berhubung terus dengan wakil-wakil cawangan PEMBINA seperti yang tersenarai dalam laman web rasmi PEMBINA, http://pembina.com.my.

Ustaz Salman Abdul Rahman,
Setiausaha Agung PEMBINA.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top