Syeikh Raed Solah bakal bertandang ke Himpunan Mahasiswa 2012

Himpunan Mahasiswa 2012 anjuran PEMBINA buat julung-julung kalinya bakal diserikan dengan kunjungan Syeikh Raed Solah, pemimpin rakyat Palestin di kawasan negara Palestin 1948, iaitu kawasan yang dikenali sebagai Israel pada hari ini di dalam peta dunia.

Beliau dijadualkan menyampaikan pidato yang bertajuk ‘Pemimpin Masa Hadapan : Di Antara Cabaran dan Harapan’ pada pagi hari terakhir HIMMAH, iaitu pada hari Ahad, 16 September. Di antara tujuan penganjur HIMMAH menjemput beliau menyampaikan perkongsian pandangan sekitar tajuk yang dilihat penting kepada mahasiswa Islam di Malaysia hari ini adalah agar dapat meluaskan pengetahuan berkenaan aktivisme mahasiswa Islam di sebuah negara yang ditekan oleh penjajahan tetapi mampu melahirkan tokoh-tokoh mahasiswa suatu ketika dahulu dan kini mereka telah menduduki kedudukan penting di dalam masyarakat sebagai tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan negara dan kebangkitan rakyat menentang penjajahan.

Penganjur yakin, tokoh-tokoh seperti Syeikh Raed Solah dan rakan-rakan merupakan tokoh-tokoh yang aktif di zaman mahasiswa mereka dahulu. Kehadiran beliau ke HIMMAH diharap bakal memberikan semangat baru kepada para peserta untuk turut bangkit mengisi kekosongan-kekosongan di dalam masyarakat kampus untuk menyebarkan agenda mahasiswa Islam ke arah melahirkan generasi pimpinan negara di masa akan datang. 

Syeikh Raed Solah ketika ditemui berkata, “Tanggungjawab utama agenda pembangunan mahasiswa dan belia pada hari ini harus bermula dari kesedaran yang diasaskan di atas prinsip-prinsip ilmu dan nilai-nilai yang murni. Kebangkitan tanpa kesedaran ini tidak akan membawa arus mahasiswa ke arah menjadi kelompok yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. Belia dan mahasiswa merupakan asas kepada mana-mana kebangkitan di atas muka bumi ini.”

HIMMAH yang dijadualkan berlangsung bermula Jumaat ini bakal menghimpunkan kira-kira 400 mahasiswa Islam yang aktif bersama PEMBINA dari seluruh Malaysia.

Oleh:

Ustaz Salman Abdul Rahman,

Setiausaha Agung PEMBINA

Eksekutif Aman Palestin Bhd

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top