Sekretariat Himpunan Mahasiswa 2012 (HIMMAH ’12) menjangkakan seramai 400 orang mahasiswa daripada seluruh negara bakal menghadiri himpunan yang pertama kali dianjurkan.
Menurut Pengarah HIMMAH ’12, Azril Hanafi bin Abdullah Sharwani berkata,”Himpunan Mahasiswa anjuran PEMBINA ini sudah lama dinantikan oleh semua ahli di seluruh negara”,
“Program sebegini sudah tentu dapat mengeratkan silaturrahim peserta yang datang dari pelbagai latar belakang dan pendidikan”, tambah beliau lagi.
Selain mendapat perkongsian yang formal melalui pembentangan kertas kerja dan forum, peserta juga berpeluang untuk mendapatkan pelbagai respon dan pandangan mengenai aktivisma PEMBINA melalui kenalan baru mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang universiti.
Menurut beliau lagi, objektif utama Himpunan Mahasiswa ini adalah untuk melahirkan mahasiswa yang beragenda, bijak menganalisa isu serta mempunyai daya saing tinggi menghadapi segala cabaran.
HIMMAH yang bakal dilangsungkan di Kompleks Rakan Muda Klang ini juga akan diuruskan oleh fasilitator yang berpengalaman dan terlatih di samping pelbagai aktiviti yang menarik.