Sokong Pengharaman Vape dan Rokok di USIM

Wartawan: Hanan bt Othman

Bangi, 24 Feb – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) hari ini menyatakan sokongan mereka kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) atas kempen “USIM bebas rokok dan vape” yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA, Aizat Farhan Rohizat, tindakan ini sememangnya selaras dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga tuntutan agama.

“Kegiatan rokok dan vape sudah lama tidak dibendung dengan aktif di tanah air kita. Kesannya, hari ini gejala merokok masih menular di kalangan belia dan mahasiswa tanpa pengakhiran.

“Sudah tiba masanya untuk kita mengatasi masalah ini secara lebih serius. Moga inisiatif dari USIM ini menjadi batu loncatan pada institusi-institusi lain untuk turut melakukan perkara yang sama” ujar Aizat.

Beliau yang turut menyertai perjumpaan meja bulat bersama Kementerian Kesihatan berkaitan isu vape tahun lalu berkata, membendung budaya negatif tidak cukup dengan sekadar menwujudkan undang-undang, namun ia perlu kepada penguat-kuasaan, kempen-kempen pendidikan dan pemantauan yang berterusan agar budaya mahasiswa bebas rokok dan vape itu menjadi realiti.

“Kementerian Kesihatan, dan pelbagai NGO termasuk PEMBINA telah melakukan pelbagai usaha untuk mengharamkan penggunaan vape dan rokok walaupun dalam keadaan kuasa yang terhad.

“Kementerian mampu sahaja untuk merampas Vape tetapi tindakan ini sahaja belum tentu dapat membanteras budaya merokok dan vape yang sudah begitu berakar umbi dalam masyarakat kita hari ini.

“Lantas, strategi besar ini memerlukan sokongan dan inisiatif dari pelbagai pihak lagi untuk terus menyekat penyebaran budaya vape dan rokok khasnya golongan muda”, ujarnya.

Tambah Aizat, mengubah kebiasaan yang buruk dan mewujudkan budaya gaya hidup sihat dan sejahtera memang seharusnya bermula dan diberi penekanan di institusi pendidikan.

“Hari ini, jelas USIM telah berjaya mengambil satu langkah yang berani demi melahirkan masyarakat dan budaya yang sihat untuk Malaysia”, jelasnya.

Tambah beliau, selari dengan 5 aspirasi PEMBINA, PEMBINA akan sentiasa menyokong penuh mana-mana pihak yang membangunkan pengupayaan Universiti dari pelbagai sudut termasuklah dari sudut kesihatan dan akhlak mahasiswa.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top