Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengucapkan sekalung tahniah dan selamat berjuang kepada Saudara Saifullah Maslul bin Suhairi di atas keberangkatan beliau untuk melanjutkan pelajaran dalam peringkat ijazah ke University of Manchester, UK dalam bidang Mechanical Engineering dibawah tajaan Sime Darby. Beliau telah berangkat meninggalkan tanah air pada malam 13 September 2010 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Cawangan PEMBINA Bangi, Aizuddin Khalid dan Penolong Ketua Cawangan, Rusman Arief Abd Rahman berkesempatan mengiringi dan bertemu Saifullah di KLIA bagi mengucapkan tahniah dan selamat jalan serta menyampaikan cenderahati dari seluruh warga PEMBINA.
Saifullah merupakan aktivis PEMBINA Bangi yang aktif, berdedikasi, bersemangat dan bersungguh. Beliau banyak terlibat dengan kerja-kerja kesukarelaan dengan PEMBINA. Beliau kerap kali dipilih mewakili dan menjadi jurucakap PEMBINA Bangi dalam mesyuarat-mesyuarat bersama NGO-NGO setempat. Tugasan besar terakhir beliau adalah sebagai timbalan pengarah jawatankuasa penganjuran Karnival Futsal Islami (KAHFI) 2010 yang telah berlangsung dengan jayanya bahkan turut mendapat perhatian media.
PEMBINA mendoakan semoga Saifullah Maslul berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Dan semoga beliau akan terus bekerja untuk Islam di mana sahaja beliau berada. PEMBINA juga berharap agar Saifullah akan kembali berkhidmat bersama PEMBINA seusai urusan pembelajaran beliau dari luar negara.
Ketua dan Penolong Ketua Cawangan PEMBINA Bangi
menyampaikan cenderamata kepada Saifullah di KLIA
Saifullah ditemuramah media antarabangsa