Putrajaya 31 Ogos – Dalam komemorasi Perang Badar & Hari Merdeka, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Bangi telah mengendalikan program “Kembara Badar” yang merupakan satu rehlah berjalan kaki sejauh 5km. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL) dan merupakan sebahagian kempen Nur Ramadhan anjuran bersama kedua NGO itu. Program ini berjaya mengumpul lebih 100 peserta yang majoritinya adalah belia dari institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Bangi yang bersemangat menyahut cabaran kembara ini.
Route program adalah dari Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) ke Jambatan Lebuh Sentosa dan kembali ke Masjid Besi. Para peserta berhenti di hujung Jambatan Lebuh Sentosa untuk mendengar tazkirah mengenai Perang Badar & Kemerdekaan yang disampaikan oleh Ust Annuar Salleh, Yang DiPertua (YDP) ISMA DHL. Program yang diketuai Saudara Afizhi Atan ini, secara keseluruhannya telah berjalan dengan lancar dimulakan dengan pembukaan alu-aluan oleh Ketua Cawangan PEMBINA Bangi, saudara Aizuddin Khalid dan ditutup oleh saudara Mohd Noor Azib Asmungi, Naib-YDP ISMA DHL. Para peserta seterusnya berbuka puasa, Solat Maghrib, Isya’ dan Tarawih di Masjid Besi.
Saudara Aizuddin menganggap kejayaan program ini adalah apabila PEMBINA berjaya mengumpul & memobilisasi sejumlah besar belia untuk berkorban & berpenat lelah di bulan Ramadhan semata-mata ingin merasai dan menghayati secebis dari pengalaman tentera Badar yang telah berarak jauh sebagaimana tercatat dalam sirah.
Dalam pengisian program kali ini, antara noktah utama yang ditekankan Ust Annuar Salleh adalah bahawa peristiwa Badar telah membuktikan bahawa keimanan dan ketaqwaan adalah faktor kesatuan dan kesepakatan dikalangan para sahabat Nabi S.A.W., bukan ikatan peraturan atau naungan undang-undang. “Apabila iman ada di dalam jiwa manusia, maka hadirlah itsar (melebihkan orang lain), dengan itsar banyak masalah hari ini selesai”, ulas beliau mengenai kesatuan ummat. Sesudah hadir keimanan dan ketaqwaan yang hakiki, maka peraturan akan menunjuk jalan bagaimana melengkapkan penghambaan mereka kepada Allah. Pengajaran ini diambil sempena peristiwa kekeliruan pembahagian harta rampasan perang Badar. Seterusnya Ust Annuar telah mendefinasikan kemerdekaan sebenar adalah apabila manusia bebas dari cengkaman nafsu dan mampu melakukan ketaatan kepada Allah tanpa digugat tarikan nafsu dan ancaman-ancaman golongan yang memusuhi Islam. Pengisian istimewa ini diharap telah memberi kesedaran kepada para peserta untuk menginsafi dan menghayati perjuangan Badar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara dan bangsa agar mampu memerdekakan diri dari tekanan nafsu dan tekanan luar.
Disediakan oleh:
Biro Media PEMBINA Bangi