Alhamdulillah, program Untukmu Belia yang berlangsung pada 22 Mei 2010 baru-baru ini berjalan dengan baik. Pihak PEMBINA dan Kolej Komuniti Kepala Batas telah bertungkus lumus menyediakan segala kelengkapan program lebih kurang dua bulan sebelum tarikh program. Namun, masih terdapat kerja-kerja yang terpaksa dilakukan di saat-saat akhir.
Pada malam 21 Mei 2010, kesemua AJK PEMBINA dibantu dengan ahli-ahli sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Politeknik & ACMS bersengkang mata memastikan segala persediaan telah dikemaskini. Tugas-tugas telah dibahagikan. Ada yang bertanggungjawab ke atas bahan-bahan multimedia seperti video-video untuk kegunaan forum, video-video selingan. Ada juga beberapa AJK Pembina bersama-sama sukarelawan menggunakan kreativiti masing-masing menghias papan pameran Pembina dan Aman Palestin.
Latihan raptai program juga dilakukan pada malam tersebut bagi memastikan program berjalan dengan lancar keesokkan harinya. Masing-masing berusaha keras menyiapkan tugasan yang
diberikan walaupun hujan yang turun pada malam itu agak mengingatkan kami kepada tilam dan bantal.
Hampir kesemua AJK pulang berehat pada jam 2 pagi. Namun, terdapat juga beberapa AJK yang masih menggunakan sisa-sisa tenaga yang ada hingga lewat jam 4 pagi bagi memastikan segala persiapan yang dirancang berada pada kondisi yang memuaskan.
Pagi 22 Mei 2010 menjelang tiba. Kesemua AJK berada di Kolej Komuniti seawal jam 7 pagi. Para peserta mula tiba pada jam 8 pagi. Kesemua peserta telah berusaha memberi tumpuan yang sebaiknya terhadap seminar yang dijalankan. Seminar kali ini diberi tajuk: “Sexualiti…Ceritamu…Ceritaku” yang terbahagi kepada dua slot. Slot pertama merupakan ceramah tentang seksualiti dan gejala sosial dari Dr. Norashimah. Merupakan suatu slot yang agak menarik, dimana pelajar-pelajar telah didedahkan dengan pelbagai info yang baru dari sudut perubatan yang tidak dapat dipisahkan dengan hakikat realiti. Dimana, “Mulut boleh berbohong, tetapi badan kita tidak akan berbohong sama sekali”. Cukup padat dan berinformasi. Begitu juga dengan slot yang kedua, iaitu Forum. Forum ini terdiri dari 3 panelis yang mengupas tentang persoalan pergaulan & cinta remaja berlandaskan syarak. Topik telah dikupas dan disandarkan dari pandangan psikologi, perubatan mahupun Islam.
PEMBINA juga telah membuka booth jualan makanan dan t-shirt muslimah. Selain dari itu, booth PEMBINA juga meletakkan beberapa pameran Aman Palestine. Oleh kerana, PEMBINA hanya dapat menyewa separuh dari tapak booth, masalah ruang yang sempit agak mempengaruhi jualan dan pameran. Ini akan dijadikan pengajaran buat kami semua. Program Untukmu Belia juga telah berkolebrasi bersama pihak Hospital Kepala Batas dan Seberang Jaya bagi kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Program Untukmu Belia ini telah diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada PEMBINA kepada pihak kolej dan pihak hospital. Moga dengan usaha yang kecil ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada pembangunan belia Islam di negara ini. Membawa kesedaran kepada belia agar tidak terus terjerumus dalam kancah maksiat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. InsyaAllah.
Tidak lupa juga, PEMBINA PENANG ingin merakam setinggi penghargaan kepada semua ahli sukarelawan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Untukmu Belia. Moga segala penat lelah dan amal kita tidak sia sia dan diterima di sisi Allah swt. Mohon dijauhkan dari sifat riak, takabur, sombong, ujub , etc yang memusnahkan segala amal, agar keberkatan dan keredhaan Allah sentiasa bersama kalian. Amin ya Rabb…
10. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
11. (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
(As Soff)