SEREMBAN 22 FEB- Pasukan remaja dari Sekolah Menengah Agama Dato’ (SMAD) Klana Petra Maamor dan pasukan belia dari Kolej Mara Seremban (KMS) telah berjaya mempertahankan kejuaraan masing-masing di Karnival Futsal Remaja dan Belia 2009 pada 22 Februari yang lepas. Bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di Paroi, kejohanan ini merupakan anjuran bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Negeri Sembilan dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) Negeri Sembilan. Objektif Karnival Futsal ini diadakan adalah untuk memupuk budaya bersukan khususnya di kalangan remaja dan belia di samping mengeratkan hubungan persaudaraan Islam di kalangan peserta, selaras dengan tema ‘Sambil Beriadhah Kita Berukhwah’.
Sebanyak 10 pasukan mengambil bahagian bagi kategori remaja (13-17 tahun) sementara 13 pasukan bertanding untuk kategori belia (18-35 tahun). Pasukan-pasukan belia yang bertanding mewakili IPT-IPT sekitar Negeri Sembilan seperti Kolej Mara Seremban (KMS), Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM), Kolej Tuanku Jaafar (KTJ), Kolej UNITI Port Dickson dan lain-lain lagi. Selepas mengharungi aksi yang penuh mencabar, pasukan SMAD Klana A berjaya mempertahankan kejuaraan kategori remaja dengan menewaskan pasukan Taman Rasa Sayang 5-2 di perlawanan akhir. Bagi kategori belia, pasukan KMS A juga berhasil mengekalkan piala pusingan buat kali kedua berturut-turut selepas mengalahkan pasukan Kolej UNITI B dengan kemenangan 4-0.