Kursus Solat Meriahkan Utara Tanah Air

KEDAH 27 Feb- Kursus kecemerlangan solat anjuran PEMBINA yang dianjurkan Jumaat lepas mendapat sambutan hangat luar dugaan oleh belia-belia di IPT sekitar Kedah. Dewan yang hanya mampu memuatkan 200 peserta menyebabkan pihak urusetia terpaksa menolak penyertaan dari lebih kurang 300 orang yang berminat untuk menyertai kursus ini.

Kursus yang bermula jam 9 am hari Jumaat 27 Feb di Dewan Masjid Al Bukhary ini telah disertai oleh pelajar-pelajar dari IPT sekitar Kedah seperti UUM, Institut Perguruan Sultan Abdul Halim (IPSAH), Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Politeknik dan juga turut disertai oleh beberapa staf Pusat Zakat Pulau Pinang.

Kursus dimulakan dengan bacaan Quran oleh qari jemputan dari Insaniah, diikuti oleh ucapan aluan oleh pengerusi Pembina, Dr. Zulkifli Yusof. Dr. Yusof Abas selaku penceramah pertama telah membentangkan modul Pelajar Hebat Bila Solatnya Hebat yang dirangkumkan dalam 2 slot.

dsc_0134


Ustaz Fisol mengisi slot selepas Jumaat dengan pengisian bertajuk, Siapakah Orang yang Memelihara Solat diikuti soal jawab oleh para peserta kursus.

Kursus yang dijalankan buat julung-julung kalinya di Kedah ini telah dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Al Bukhary yang menyediakan kemudahan dewan percuma dan kemudahan makanan untuk peserta, manakala Majlis Agama Islam Negeri Kedah turut menyumbangkan pen dan beg untuk peserta kursus.

dsc_0227

Rata-rata peserta melahirkan rasa puashati terhadap kursus anjuran PEMBINA dengan kerjasama Yayasan Al Bukhary ini dan mengharapkan agar kursus seumpama ini dapat dijalankan lagi pada masa-masa akan datang dan dengan ruang masa yang lebih panjang. Dengan izin Allah, program sulung ini akan menjadi perintis kepada program-program lain bermatlamatkan pembentukan belia muslim sejati yang akan dianjurkan pada masa-masa akan datang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top