Salam Maal Hijrah 1432H

1Muharam 1432 Hijrah. Sudah 1432 tahun berlalu peristiwa besar dalam sejarah agung umat Islam, hijrah Rasulullah SAW dan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Hijrah umat Islam demi menjaga akidah dan syariat telah menjadi titik tolak kepada perkembangan dan penyebaran Islam secara meluas ke serata dunia. Pengorbanan dan keikhlasan mereka ini telah membuktikan lafaz syahadah mereka, Allah adalah Ilah (Tuhan) dan Rasulullah adalah pesuruh Allah. Tanpa iman yang kuat bertapak di hati, sudah tentu mereka tidak mampu menjalankan perintah Allah dan Rasulullah. Hasil didikan dan ajaran Nabi Muhammad SAW ini telah melahirkan satu umat manusia yang berpegang teguh kepada Islam dan akhirnya menguasai hamper dua pertiga dunia.

“Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.” Lantas sahabat bertanya, “Apakah ia disebabkan bilangan kita yang sedikit?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan bilangan kamu pada ketika itu ramai, tetapi umpama buih-buih di lautan. Allah telah mencabut dalam hati musuh-musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn ke dalam hati kamu”‘ Sahabat bertanya lagi, “Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?” Jawab Baginda, “Cintakan dunia dan bencikan mati.” (Hadith Riwayat Abu Daud)

Realiti umat  Islam zaman sekarang adalah yang digambarkan Nabi Muhammad sebagaimana dalam hadis di atas. Populasi umat Islam di seluruh dunia adalah hampir 1.7 bilion orang mengikut statistik pada tahun 2009. Apa yang menyedihkan adalah bilangan umat Islam yang sebesar ini tidak mampu memberi impak yang positif kepada dunia, apatah lagi mahu menjadikan Islam sebagai peneraju dunia.

Perkara yang sama juga berlaku jika kita melihat dalam konteks belia Islam di negara Malaysia yang kita cintai ini. Rata-rata belia beragama Islam yang majoritinya berbangsa Melayu, bersikap seperti hadis di atas. Belia Melayu kita larut dalam dunia mereka yang tersendiri. Mereka sudah tidak ada jati diri dan hala tuju kehidupan yang lurus dan murni.  Budaya gila hiburan yang melampau menjadi  fokus utama belia kita buat masa ini termasuklah aktiviti-aktiviti maksiat yang tidak perlu kita bicarakan di sini. Buktinya adalah berita penangkapan pasangan-pasangan belia Melayu Islam kita yang berkhalwat di hotel-hotel murah pada hari cuti sempena Maal Hijrah ini. Hari yang sepatutnya digunakan untuk menghayati peristiwa besar dalam kalendar umat Islam telah dicemari dengan maksiat yang  sedemikian rupa.

Oleh yang demikian, saya menyeru diri saya dan para belia sekalian untuk menghayati sepenuhnya erti disebalik peristiwa Maal Hijrah ini. Hijrah yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada hijrah dari perkara buruk kepada perkara yang baik sahaja tetapi lebih daripada itu lagi. Hijrah Rasulullah dan umat Islam dari Mekah ke Madinah tidak akan berjaya tanpa ada pendidikan Islam yang fokus dan tersusun sebelum itu.  Bagi saya, tarbiah dan didikan seperti inilah yang menjadi intipati utama dalam kita menghayati Maal Hijrah ini. Tanpanya, sudah tentu umat Islam tidak mampu berhijrah, mengembang dan menyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia sehingga mampu mentadbir dunia dengan keadilan dan keagungan Islam.

Akhir kata, marilah sama-sama kita mengikut sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dalam mencapai kejayaan di dunia di akhirat iaitu melalui proses tarbiah dan pendidikan Islam yang sebenar!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top