JOHOR BAHRU, 23 Mei – Run for Palestine 2015 (R4P2015) merupakan program larian Islamik untuk belia yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia.
Menurut Pengarah program R4P2015, Mohd Burhanudin Yusof, kelainan program larian kali ini ialah para peserta dikehendaki menutup aurat dengan sempurna dan laluan larian untuk lelaki dan wanita juga diasingkan.
“Untuk memupuk nilai-nilai Islam dalam kalangan belia, kita masukkan nilai-nilai tersebut dalam aktiviti yang belia suka seperti bersukan. Dengan ini kita berharap belia sepakat untuk sihat tubuh badan berlandaskan Islam yang sebenar,” katanya.
Burhanudin ditemui wartawan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) selepas acara larian yang diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru baru-baru ini.
Pengerusi PEMBINA cawangan Johor, Mohd Muhaimin Mahmood yang turut hadir berkata tujuan pelaksanaan program R4P2015 ialah supaya belia merasa dekat dengan Palestin disamping memupuk budaya bersukan mengikut syariat.
“Program kali ini kita khususkan supaya para peserta menutup aurat, menjaga batas-batas pergaulan dan larian dimulakan dengan bacaan doa. Ini bertujuan supaya masyarakat dapat lihat bahawa kita sebenarnya boleh berlari tanpa meminggirkan nilai-nilai Islam.
“Kita juga berharap nilai-nilai Islam yang dipupuk dalam program ini diamalkan dalam segenap cara hidup disamping belia terus menunjukkan tanda sokongan terhadap Palestin tidak kira masa,” jelas beliau.
Program larian ‘Run for Palestine 2015′ telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Johor Bahru, En. Abd. Rahman Abdullah.
Program anjuran PEMBINA Johor dan Aman Palestin Berhad cawangan Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Majlis Belia Daerah Johor Bahru (MBDJB), 1Malaysia For Youth (iM4U) dan Odeen Muslimah itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat pelbagai latar belakang dengan penyertaan mencecah sehingga 500 orang.
Suasana bertambah meriah apabila Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, En Abd. Aziz Abd. Rahman menyertai larian bersama-sama para peserta. Turut hadir ialah Pengerusi Aman Palestin Berhad cawangan Johor, Tuan Hj Bariman Yasimin, Pengurus Aman Palestin Johor, En. Norul Ahmady Abdul Rahman, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Johor, Tuan Hj Mohd Tahir Hamdan, Setiausaha MBDJB, En Hafiz Abdul dan Penolong Pegawai Perubatan JKNJ, En. Abdul Latiff Zainudin.
Muhammad Rusydi Muhammad Razif
Wartawan PEMBINA