Oleh Aliyatul Farida Abu Bashri
BANGI, 13 Feb –Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan (MATK9) ke-9 pada tahun ini, sekaligus meraikan sempena 10 tahun penubuhannya yang bertemakan “Sedekad Penuh Tekad”.
Dr Kamil Azmi Tohiran, Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang juga merupakan Presiden pertama PEMBINA telah merasmikan mesyuarat agung pada pagi tadi.
Semasa ucapan perasmian, beliau menyatakan perasaan bangga atas pencapaian PEMBINA yang kini mencecah hampir 40 ribu orang ahli seluruh Malaysia.
“Pencapaian ini bukanlah satu kemenangan mahupun destinasi tetapi batu tangga yang di lalui sepanjang perjalanan untuk menggencarkan lagi arena dakwah,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Dr Kamil menegur segelintir pendakwah kini yang mengambil sikap sambil lewa dalam menyampaikan dakwah.
“Dakwah dikongsi kepada ahli-ahli, apa guna membina ramai ahli tetapi tidak mampu mewarisi gerak kerja daripada pencetus. Di era masa kini banyak NGO dakwah datang dan pergi dan akhirnya kehilangan tokoh dalam arena dakwah yang dapat menyentuh hati-hati,” ujarnya.
Selain itu, beliau menyatakan dengan kemunculan PEMBINA ianya sebagai saluran bantuan kepada masyarakat.
“Memang tidak dinafikan generasi kini lebih gemar berinteraksi atau berhubung melalui media sosial tetapi “manusia” itu sendiri perlu diurus dan dihubungkan dengan sesama manusia .Lantaran itu PEMBINA menepati agenda ini untuk menguruskan masyarakat di luar sana,” katanya.
Di akhir ucapan, beliau mengingatkan ahli PEMBINA agar tidak mudah lelah dalam dakwah walaupun mempunyai pelbagai tugasan.
“Walaupun kita dihujani dengan pelbagai tugasan, janganlah kita mudah merasa lelah, istiqamahlah kerana ianya melibatkan apa tujuan hidup kita sebagai Khalifah di muka bumi ini. Jadilah kita hamba kepada Allah s.w.t. dengan mematuhi segala perintah-Nya,” pesannya.