Potensi Belia Harus Disalurkan Dengan Betul

Bangi, 26 Mei 2012- PEMBINA mempersoalkan penganjuran konsert hiburan melampau yang diadakan di Himpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara 2012 (HBN) di Putrajaya. Tidak dinafikan terdapat segmen-segmen bermanfaat yang diadakan, contohnya segmen Modal Insan, Uniform, Volunteers, My Hobbies, FIT and ACTIVE, Gerbang Kerjaya, Young Entrepreneur dan sebagainya namun PEMBINA tetap tegas membantah konsert hiburan yang melampau yang jelas-jelas tidak memberikan manfaat kepada belia khususnya dan masyarakat amnya. PEMBINA berpendapat bahawa;

1. HBN tidak seharusnya menjadi medan untuk menonjolkan pelbagai artis terutamanya artis luar negara semata-mata sebagai modal untuk menarik minat belia dan masyarakat hadir ke HBN. Ini seolah-olah merendahkan mentaliti belia supaya terus leka dan lalai  hanyut dalam dunia hiburan dan hedonisme melampau.

2. Apa yang jauh lebih utama dan kritikal adalah menyalurkan potensi belia dalam negara yang tidak terbilang ini kepada saluran yang betul, membangun dan mampu mengukuhkan jatidiri ke arah memberikan sumbangan kepada pembangunan agama, bangsa dan negara. 

3. Masalah sosial dan kelesuan aktivisme belia terutama sekali golongan mahasiswa harus dipandang serius kerana mereka adalah aset penting dalam menentukan masa depan negara.

4. Islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur tetapi haruslah mengikut batas-batas syariat. Amalan percampuran lelaki dan perempuan sambil menampilkan artis yang tidak menutup aurat adalah dilarang sama sekali dalam Islam. 

5. Kementerian Belia Sukan (KBS) seharusnya menilai semula penganjuran konsert yang tidak islamik sewaktu HBN kerana ia mengundang budaya hedonisma yang negatif hasil drpd propaganda barat untuk menjauhkan ummat Islam daripada ajaran sebenar.

6. PEMBINA menyeru kepada semua belia agar menjauhi segala program berbentuk maksiat terutamanya konsert-konsert yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Kenyataan Presiden PEMBINA, Ibrahim B Mohd Hasan, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) di Buletin ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top