NGO minta Ahli Parlimen usul haramkan LGBT

KUALA LUMPUR 25 April – Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak semua Ahli Parlimen agar segera membawa usul menolak dan mengharamkan sebarang aktiviti berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan seks bebas di negara ini pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Desakan itu disuarakan oleh wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) selepas membuat laporan polis membantah perhimpunan bertemakan LGBT bukan jenayah yang akan diadakan di Dewan Pejabat Majlis Peguam pada Jumaat ini.

Setiausaha Agung GPMS, Zambri Mohd. Isa berkata, usul menolak dan mengharamkan aktiviti berkaitan LGBT dan seks bebas itu penting untuk dibawa Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat.

“Melalui langkah ini, ia dapat mematahkan usaha untuk menghangatkan aktiviti tidak bermoral yang sedang diusahakan oleh kumpulan minoriti.

“Dalam Dewan Rakyat nanti, baru masyarakat dapat lihat Ahli Parlimen mana yang mungkin akan melatah kerana menyokong gejala songsang berkenaan,” katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden PEMBINA, Ibrahim Mohd. Hasan memberitahu, laporan polis yang dibuat mereka mendesak polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab menganjur perhimpunan itu.

“Laporan polis itu bukan untuk mendiskriminasi hak golongan LGBT sebaliknya kami mahu mereka sedar perbuatan mereka adalah menyalahi norma-norma semula jadi manusia,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, mereka mendesak menyiasat pihak yang berselindung di sebalik nama LGBT dan mengambil tindakan sewajarnya.

Sumber: Utusan Online

 

Scroll to Top