BANGI, 28 Oktober – Tiga pimpinan tertinggi Persatuan Belia Islam Nadional (PEMBINA) Samarahan terpilih untuk bentang hasil kajian di The 3rd ASEAN Sago Symposium (ASAS) 2016, bertempat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) baru-baru ini.
Mereka terdiri daripada Pengerusi PEMBINA Samarahan, Saudara Nizzal Syafiq Bostaman yang membentangkan kajian bertajuk Utilising Sago Hampas As The SSF Substrate For Pectinase Production By Aspergillus Flavus, Ketua Beliawanis PEMBINA Samarahan, Saudari Sharifah Mohammad yang membentangkan kajian bertajuk Sugar From Residual Starch Of Sago Fibre dan juga mantan jawatankuasa PEMBINA UNIMAS, Saudari Fara Izmyra Muzafar Shah dengan kajian bertajuk Culture Of Spirulina Platensis For Production Of Single Cell Protein in Filtered Sago Effluent.
Ketiga-tiga pembentang merupakan pelajar siswazah tahun ke-2 dalam bidang Bioteknologi, UNIMAS.
Menurut Saudara Nizzal, peluang ini merupakan satu pengalaman berharga bagi beliau sebagai seorang mahasiswa kerana dapat membentangkan hasil kajian di hadapan pakar-pakar dari dalam dan luar negara.
“Pengalaman ini membuktikan kepada saya bahawa walaupun kita ini hanya bergelar seorang mahasiswa, namun kita mampu melaksanakan kajian-kajian yang bertaraf antarabangsa serta mampu memberi impak kepada industri di negara ini.
“Ini jelas membuktikan bahawa mahasiswa mampu untuk mencorak masa depan negara, andai mereka mengambil serious pengajian di universiti dan berusaha berfikir di luar kotak dan mengaplikasikan teori dan ilmu dari bilik kuliah untuk aplikasi dan penambah baikan dalam industri dan kehidupan seharian manusia,” ujar beliau.
Simposium yang bertemakan Enhancing Sago Potentials For Application In Research And Industries ini telah mengumpulkan lebih 30 orang pembentang daripada pakar dari dalam dan luar negara, termasuk pembentang daripada Indonesia, Jepun dan Myanmar.
Simposium yang berlangsung di Dewan Auditorium, CAIS, UNIMAS ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UNIMAS, YBHG. Prof Dato’ Dr Mohammad Kadim Suaidi.