BANGI, 15 April – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) hari ini menganjurkan Persidangan Beliawanis Kebangsaan (SIDANG) bagi membincangkan ancaman K-Pop ke atas jatidiri mahasiwa.
Menurut Pengerusi Persidangan, Saudari Khairunnisa Mazlan, kemasukan K-pop ke dalam negara ini telah merosakkan sahsiah mahasiswi lantas menjadi pemangkin untuk dibincangkan secara lebih serious.
“Tahun lalu, kita dikejutkan dengan aksi tidak sopan oleh belia Islam sendiri bersama artis korea di atas pentas sebuah konsert K-pop dan ini telah membangkitkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.
“Kami di PEMBINA menyedari bahawa ia tidak hanya bermula di situ, tetapi ia telah bermula lebih awal lagi, merosakkan sahsiah dan jatidiri belia sehingga ke tahap mereka hilang sifat malu dalam diri mereka”, ujarnya.
Khairunnisa berkata, sejak peristiwa itu, PEMBINA telah mengorak langkah proaktif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum, khususnya belia dan mahasiswa.
Antara langkah yang telah diambil itu termasuklah muncul di media perdana, mengadakan kempen-kempen media sosial serta menubuhkan unit kajian hedonisme PEMBINA.
“PEMBINA telah muncul di media perdana bagi memberi penerangan tentang ancaman K-pop contohnya di rancangan Salam Muslim dan Isu akidah.
“Selain itu, kami juga menubuhkan unit kajian hedonisme PEMBINA bagi mengkaji dengan lebih mendalam tentang sejarah, faktor, kesan dan ancaman K-pop ke atas jatidiri rkayat Malaysia khususnya di kalangan Mahasiswa”, jelasnya.
Khairunnia yang juga merangkap Ketua Beliawanis PEMBINA berkata, ahli-ahli kajian ini bukan calang-calang orangnya tetapi merupakan orang yang memang terlibat secara aktif dan serious dalam program-program pembentukan jati diri mahasiswa sejak dahulu.
“SIDANG pula adalah pentas untuk ahli kajian hedonisme PEMBINA,yang terdiri daripada ahli PEMBINA seluruh Malaysia membentangkan hasil kajian mereka agar hedonisme, khususnya K-Pop dapat dicantas dari akar umbinya”, tambahnya lagi.
Khairunnisa berharap agar hasil kajian ini kelak boleh disebarkan kepada umum seterusnya mampu memberikan kesedaran kepada belia dan mahasiswa.
SIDANG yang berlangsung di Pejabat PEMBINA Pusat di Bangi hari ini telah membentangkan tiga kajian pertama iaitu, Sejarah K-pop oleh Saudari Roszida Kamaruddin, mantan Ketua Beliawanis PEMBINA , Penyerapan budaya hedonistik melalui K-wave oleh Fadhilah Othman, pelajar Sarjana Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Mahasiswa Fanatik K-pop oleh Naielah Julius, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Kajian seterusnya akan dibentangkan dalam SIDANG berikutnya.